Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Debaran dan kerisauan menanti Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan IPTS apabila ia membuka semula pintu kampus kepada 1.16 juta pelajar walaupun segala langkah diambil kira termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi memastikan virus COVID-19 tidak menular di kawasan persekitaran.

Selain mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak pengurusan IPT juga mengeluarkan garis panduan mereka sendiri bagi pematuhan lebih ketat.

Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah akan menerima kembali 3,000 pelajar dan setiap pelajar akan dibawa ke satu kawasan khas untuk menjalani ujian saringan COVID-19 (RTK) sebaik sampai di kampus sebelum memasuki asrama pelajar, Inasis (Inapan Siswa) setelah keputusan saringan negatif.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata pelajar didapati positif dalam ujian saringan RTK akan terus dibawa ke Pusat Kuarantin UUM yang disediakan dengan dikendalikan Pusat Kesihatan UUM.

“Ahli keluarga yang menghantar pelajar ke Inasis tidak dibenarkan turun dari kenderaan untuk memasuki kawasan asrama kecuali pelajar sahaja dengan dibantu staf bertugas semasa kemasukan pelajar itu,” katanya dan menambah hanya pelajar telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan kembali di kampus.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk berjumpa dengan pensyarah, pelajar boleh membuat janji temu dan berjumpa pensyarah secara bersemuka dengan perlu mematuhi SOP ditetapkan, katanya.

Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu mewajibkan pelajar melalui proses saringan awal dan tidak dibenarkan keluar kampus selama seminggu atau berjumpa dengan pihak luar bagi memastikan tiada penularan COVID-19.

Prof Dr Fazli Adam yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UniSZA, berkata kemasukan pelajar untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kampus akan dilaksanakan secara tiga peringkat di tiga cawangannya iaitu kampus induk Gong Badak, Kuala Terengganu dan Besut.

Fasa pertama, seramai 2,500 daripada 12,050 pelajar yang telah lengkap divaksin dan berkeperluan akan dibenarkan pulang ke kampus.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan kaedah pemohonan kemasukan pelajar dalam talian yang dibangunkan oleh universiti itu sendiri melalui entry.ia.unimas.my bagi menilai keperluan pelajar.

Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) UNIMAS Prof Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman berkata permohonan cara itu bagi membolehkan pihak fakulti dan jawatankuasa COVID-19 UNIMAS meneliti dan menilai keperluan masuk berdasarkan keperluan dan syarat ditetapkan pihak universiti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa COVID-19 UNIMAS berkata universiti itu menerima pelajar yang berkeperluan khusus seperti dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina serta Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan perlu hadir ke makmal atau bengkel untuk menjalani sesi amali selain kuliah.

“Seterusnya diikuti dengan pelajar B40 yang memerlukan kemudahan fasiliti dari segi Internet, kami (UNIMAS) faham dengan keadaan sesetengah pelajar yang tinggal di pedalaman yang mungkin mengalami kesukaran untuk mendapatkan akses Internet.

“Maka dalam keadaan ini, kami berikan keutamaan kepada pelajar ini untuk kembali ke kampus agar mereka dapat menjalankan sesi kuliah secara dalam talian dengan lebih kondusif di kolej kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula menyediakan dua pusat isolasi bagi menempatkan pelajar yang mempunyai gejala seperti demam dan batuk walaupun ujian saringan COVID-19 menunjukkan keputusan negatif.

Naib Canselornya, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata seramai 2,269 pelajar terlibat peringkat pertama ke kampus pada 17 Okt ini.

Daripada keseluruhan 10,969 pelajar, seramai 5,039 telah mendapat vaksin lengkap manakala 2,184 yang lain sudah diberikan dos pertama.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata universiti itu akan menjalankan ujian air liur RTK secara pandu lalu terhadap setiap pelajar berkenaan sebelum dibenarkan memasuki asrama.

“Kami menggunakan konsep pandu lalu, pelajar yang dihantar ibu bapa perlu ke padang kawat UTM untuk menjalani ujian saringan.

“Sekiranya negatif mereka boleh terus ke asrama dan jika positif pula akan ke Pusat Isolasi dan Kuarantin itu,” katanya sambil menambah UTM memberikan kelonggaran kepada pelajar untuk keluar dari kampus dari 7 pagi sehingga 10 malam.

Pengarah Pemasaran Korporat Kolej Sidma Azlina Ngatimin berkata kolej itu yang terletak di Bundusan, Sabah menetapkan maksimum 30 pelajar untuk satu kelas dengan meja dan kerusi diletakkan mengikut prosedur SOP penjarakan fizikal yang ditetapkan.

“Kami ada dewan kuliah mampu menempatkan sehingga 80 pelajar yang kami hanya akan benarkan maksimum 30 pelajar sahaja. Bagi bilik kuliah lebih kecil boleh tempatkan 30 atau 40 pelajar, kami akan hadkan jumlah pelajar lebih rendah berdasarkan SOP ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA