Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) diiringi Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (kanan) bergambar kenangan selepas pelancaran Pakej Remaja dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Pejabat KKMM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerja-kerja berkaitan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjalan mengikut jadual dan telah mencapai sasaran ditetapkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, berpandukan kepada Laporan Suku Tahun Ketiga JENDELA 2021, ia telah mencapai kemajuan memberangsangkan.

Beliau gembira dan berpuashati kerana ia melepasi pencapaian semua skop pelaksanaan mengikut jadual serta berharap semua pihak yang terbabit dapat meneruskan prestasi kerja ditetapkan.

“Pencapaian ini termasuk dari sudut liputan 4G membabitkan 94 peratus kawasan menjelang akhir tahun depan dengan 96.9 peratus liputan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga di kementerianya di sini hari ini.

Annuar sangat berharap agar kelajuan capaian internet akan mencapai tahap 35 megabait sesaat di kawasan-kawasan yang mendapat perkhidmatan 4G.

Ujarnya, dari segi jumlah premis yang mendapat perkhidmatan itu pula kata beliau ia diharap mencapai jumlah tujuh juta premis dimana sekarang ini sasarannya telah melepasi angka 6.4 juta.

Beliau percaya dalam tempoh tiga bulan lagi sasaran untuk mencapai tujuh juta itu akan terlaksana sekaligus matlamat yang digariskan dalam JENDELA akan tercapai.

“Ketika ini sebanyak 1,661 menara baharu sedang giat diadakan untuk disiapkan sebelum akhir tahun depan. Pada masa sama kita juga sedang menaik taraf menara sedia ada bagi meningkatkan perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette