Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad (kanan) ketika mengadakan sesi lawatannya ke daerah Muar semalam.

MUAR – Sempena persiapan Belanjawan Johor 2022 yang akan dibentang November depan, Menteri Besar Johor mengadakan lawatan ke Muar bagi memberi taklimat mengenainya.

Datuk Ir Hasni Mohammad memberi taklimat kepada Majlis Perbandaran Muar, jabatan dan agensi daerah  berkaitan belanjawan.

“Ia juga bagi membolehkan kerja-kerja awalan diambil selepas kita selesai Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), rentas negeri dibenarkan dan banyak sektor yang telah dibuka,” katanya demikian selepas mengadakan lawatan ke Inap Desa D’Sawah di Sungai Balang di sini semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor.

Lawatan Hasni dimulakan dengan tinjauan ke projek pembinaan Ibu pejabat Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang dijangka siap pada Januari tahun depan.

Projek yang menelan kos hampir RM45 juta itu dikatakan mengalami sedikit kelewatan akibat beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas itu, Menteri Besar ke Pejabat Daerah Muar bagi menyertai Sesi Libat Urus Bersama Kepimpinan Daerah Muar sempena Belanjawan Johor 2022.

Dalam pada itu, Hasni mengadakan walkabout bersama-sama komuniti nelayan dan penduduk di Kampung Parit Tiram.

Lawatan ke Muar diteruskan dengan mengunjungi Pusat Pemprosesan Hasil Ternakan Kupang yang diusahakan Persatuan Nelayan Kawasan Muar di Sungai Balang.

Turut diadakan ialah sesi penyerahan replika cek bantuan Penjana sebanyak RM200,000 untuk diserahkan kepada myKomuniti (myKP) Sungai Balang yang merupakan bantuan Pembangunan Projek Akuakultur Bersepadu.

Pada tahun 2021, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM613,000 bagi pembangunan sawah padi di Sungai Balang termasuk pembinaan dan pengurusan pengairan selain pelbagai pembangunan infrastruktrur.

“Saya yakin Muar merupakan sebuah daerah yang amat berpotensi untuk dibangunkan dan bakal mendapat manfaat daripada Belanjawan Johor 2022 yang akan dibentangkan nanti,” katanya.-MalaysiaGazette