Kira-kira 80 peratus bilik hotel sudah ditempah di Pulau Pinang. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kira-kira 80 peratus bilik penginapan di Pualu Pinang sudah ditempah setakat 12 tengah malam tadi sebaik kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri sejak Isnin lalu.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Raj Kumar berkata, peningkatan tempahan itu sekali gus menunjukkan perkembangan yang baik terhadap industri berkenaan yang sebelum ini terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Raj Kumar.

Bagaimanapun, Raj Kumar berkata, susulan pembukaan semula sektor pelancongan antara negeri, pihak hotel menghadapi beberapa kekangan ketika ini.

“Antaranya ialah kekurangan kakitangan susulan penutupan sementara operasi hotel  sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Begitu juga bagi dine-in di kafe atau restoran di hotel yang mana kita perlu hadkan jumlah pelanggan khususnya bagi yang menginap.

“Buat masa ini, didapati pelanggan yang menginap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan masing-masing sudah mula mengikut norma baharu fasa ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Raj Kumar,  situasi kekurangan kakitangan itu dijangka pulih tidak lama lagi sekiranya tempahan hotel terus meningkat sekali gus membolehkan majikan menggajikan semula pekerja untuk merancakkan operasi perniagaan.

“Sehubungan itu, kita minta kerajaan segera mengumumkan SOP baharu bagi selaras dengan fasa endemik. SOP fasa endemik perlu dikeluarkan oleh satu pihak sahaja bagi mengelakkan kekeliruan selain memudahkan pengurusan dan keselesaan pengunjung,” katanya.

Untuk rekod, dianggarkan terdapat kira-kira 100 hotel di negeri ini yang berdaftar di bawah MAH.

Isnin lalu, Exco Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, Pulau Pinang menjangkakan kira-kira 50,000 pelancong akan berkunjung ke negeri ini bermula hujung minggu. – MalaysiaGazette