Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. Foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Selaras dengan pelancaran MyDIGITAL, kerajaan akan melaksanakan strategi cloud first policy yang mana kebergantungan terhadap perkhidmatan awan akan meningkat dalam urusan seharian rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi menjamin keselamatan data, privasi data, perlindungan data dan aliran data pengguna di dalam perkhidmatan awan, adalah penting untuk perkhidmatan awan tersebut dikawal selia.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan kawal selia ringan (light touch regulation) ke atas perkhidmatan awan (cloud services) di Malaysia.

“Keputusan ini diambil setelah MCMC mempertimbangkan pandangan pihak industri tempatan dan asing yang khuatir akan kesan kawal selia terhadap pelaburan dalam sektor ini termasuk kos operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya pelaksanaan kawal selia terbabit akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2022.

Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, kawal selia ringan ini akan dilaksanakan melalui pelesenan perkhidmatan awan di bawah lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [‘ASP (C)’] yang telah diliberalisasikan pada tahun 2012 yang membenarkan pegangan saham asing sehingga 100 peratus dengan fi pendaftaran sebanyak RM2,500 setahun sahaja.

Menurut beliau, melalui kawal selia ringan terbabit MCMC berpeluang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan untuk menghasilkan instrumen-instrumen kawal selia seperti kod teknikal serta prosedur operasi standard (Standard Operating Procedure) mengenai keselamatan dan perlindungan data berteraskan tanda aras antarabangsa.

“Pematuhan terhadap instrumen yang dibangunkan bersama ini adalah penting bagi menjamin kestabilan dan keseragaman perkhidmatan awan untuk mewujudkan persekitaran yang dipercayai (trusted environment) dan terjamin,” ujar beliau.-MalaysiaGazette