GEORGE TOWN – Polis berjaya memberkas suspek dikehendaki selepas mengejarnya kira-kira 20 minit dalam kejadian di Jelutong di sini hari ini.
Lelaki berusia 26 tahun ditahan sebaik kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya terbabas di bahu jalan pada jam 1.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek dikesan memandu seorang diri dalam keadaan mencurigakan ketika anggota polis melakukan rondaan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu.
Jelas beliau, anggota MPV meminta suspek memberhentikan kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan, namun suspek terus memecut keretanya itu bagi mengelak ditahan.
“Anggota tersebut dengan bantuan enam MPV mengejar suspek yang dikesan melarikan diri melalui Jalan Batu Lanchang ke Jalan Masjid Negeri dan Jalan Dato Keramat ke Jalan Perak.
“Selepas 20 minit melarikan diri, suspek berjaya diberkas di Jalan Jelutong susulan keretanya terbabas, sekali gus menyebabkan tayar rosak dan pecah.
“Semakan polis ke atas suspek dan keretanya itu membawa kepada penemuan dadah jenis heroin anggaran berat 6.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Difahamkan, tiada anggota cedera dalam insiden tersebut mahupun kerosakan pada harta awam atau kerajaan dikenal pasti.
Tambah Soffian, siasatan lanjut mendapati suspek dikehendaki polis membabitkan kes jenayah selain memiliki 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamin. Suspek kini direman selama lina hari sehingga 19 Oktober 2021 untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Kesesakan dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama,” jelas Soffian. – MalaysiaGazette