Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memantau Ops Gelora yang diadakan di Mersing malam tadi.

MERSING  – Lima operator bot pelancongan berusia 22 hingga 33 tahun ditahan kerana didapati positif dadah jenis metaphetamine dalam Op Gelora Khas Bersepadu Covid-19.

Mereka sebahagian daripada seramai 92 pemandu bot dan kru pelancongan telah diarahkan melakukan ujian saringan air kencing dan saringan Covid-19 yang dilakukan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing di sini malam tadi.

Op Gelora diadakan dalam usaha memastikan keselamatan pelancong di perairan Mersing termasuk membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan operator dan kru bot pelancongan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi sedemikian akan diteruskan pihaknya dari masa kesemasa.

“Ini semua kita lakukan bagi memastikan mereka ini mematuhi peraturan ditetapkan khususnya dalam kontek pengambilan dadah yang kita rasa ianya boleh merbahayakan penumpang, pelancong dan penumpang bot lain.

“Bagi mana-mana operator bot pelancongan yang tidak mempunyai lesen, Jabatan Laut akan membatalkan lesen berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Kata Ayob, memandangkan Johor kini beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara, pihaknya komited menjalankan operasi bersepadu itu secara berterusan.

Operasi itu, menurut beliau, dilancarkan ekoran insiden dua lelaki didapati positif dadah serta mengendalikan bot secara berbahaya di perairan Mersing berhampiran Pulau Rawa pada Rabu lalu.

“Operasi ini dilancarkan bagi membuat saringan bagi semua operator bot di Mersing yang akan terlibat membawa penumpang termasuk pelancong. Operasi di lakukan bersama-sama pihak IPD Mersing,Jabatan Laut Mersing dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seperti mana kita sedia maklum, kita telah pun membuka kita punya sempadan dan kita jangka ramai pelancong akan mengggunakan khidmat bot-bot pelancong yang ada di Mersing. Pihak polis tidak mahu penumpang atau pelancong merasa tidak selamat ketika ke Mersing,” katanya.

Jelas beliau, kelima-lima operator positif dadah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen  15 (1) (a) ,Akta Dadah berbahaya 1952.

Seramai 220 pelesen berdaftar bagi pelbagai sektor termasuk pelancongan manakala 95 syarikat pelancongan persendirian yang berdaftar.

Terdapat 45 buah pulau di Mersing dengan lima daripadanya mempunyai resort iaitu Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.

“Untuk jeti, kita ada tiga jeti yang sah iaitu Jeti Shah Bandar, Jeti Penyabong dan Jeti Tanjung Leman. Sementara itu, lebih kurang 30 jeti haram dikenalpasti,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, polis menahan suspek berusia 22 dan 26 tahun yang dipercayai tekong dan awak-awak didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, ketika ditahan, bot dinaiki kedua suspek itu turut membawa lima penumpang.

Bot pelancong itu turut dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Laut Mersing untuk tindakan selanjutnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sultan Johor murka kejadian pengemudi bot khayal dadah di Mersing