Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat keadaan lif ketika turun padang bagi meninjau kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di Perumahan Awam Seri Perak hari ini.

KUALA LUMPUR – Semua 67 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka mendapat lif baharu dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM127 juta bagi menggantikan semua lif lama di PPR dan PA terbabit.

Ismail Sabri berkata kerja-kerja penggantian lif itu dijangka dimulakan awal tahun depan selepas proses perolehan kontrak selesai.

“Di mana-mana PPR pun lif ini sangat penting untuk pergerakan penduduk dan kerajaan memandang serius masalah ini (lif lama dan rosak).

“Saya berharap proses perolehan dapat dipercepatkan dan jangka masa (kerja penggantian lif) mungkin setahun hingga dua tahun bergantung kepada kontrak dan jumlah blok bagi setiap PPR,” katanya pada sidang media selepas meninjau PA Seri Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast