Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee hadir Program Sentuhan Kasih Tani di Dewan Kg. Bauto, Telupid, Sabah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) mengadakan Program Kebuniti, Program Pertanian Organik dan MAFI Prihatin bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan domestik yang memberi nilai tambah kepada rakyat.

Ketiga-tiga inisiatif itu dilancarkan melalui penganjuran Program Sentuhan Kasih Tani bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee hari ini.

Menurut Ronald, secara keseluruhan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM63.32 juta setakat ini kepada MAFI bagi menjayakan Program Kebuniti di seluruh negara yang bakal memberi manfaat daripada aspek ekonomi, sosial dan persekitaran setempat.

Selain itu peluang pekerjaan dapat ditambah termasuk memenuhi keperluan makanan penduduk bandar dan luar bandar.

“Susulan daripada sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat telah mendorong Kerajaan untuk memberi peruntukkan tambahan sebanyak 30 juta ringgit pada tahun 2021 selain peruntukkan tahunan sebanyak RM4.5 juta yang telah memberi manfaat kepada 39,608 orang melibatkan 25,775 lokasi seluruh Malaysia,” katanya ketika hadir di program  itu di Dewan Kg. Bauto, Telupid, Sabah hari ini.

Tambahnya, sejak 2014 sehingga 2020, sebanyak RM28.82 juta telah diperuntukkan untuk Program Kebuniti termasuk RM10 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada tahun 2020 yang telah memberi manfaat kepada 165,207 orang di seluruh negara

Dalam pada itu, seramai 300 peserta daripada pelbagai kampung di Telupid, Sugut dan Labuk akan menyertai Program Kebuniti hari ini.

Peserta Program Kebuniti menjalankan kaedah penanaman secara konvensional dengan insentif pertanian seperti pasu panjang (planter box), peralatan kecil, baja dan benih tanaman.

Manakala Program Pertanian Organik turut diperkenalkan pada tahun ini bagi meningkatkan hasil pertanian ke arah makanan yang selamat dimakan dan mesra alam.

Kata Ronald, sebanyak RM50 juta peruntukan daripada MAFI untuk Program Pertanian Organik telah disalurkan kepada pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah kementerian seperti DOA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan (DOF) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Ujar beliau, DOA telah menerima peruntukan berjumlah RM10 juta dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM500,000 telah disalurkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Sabah pada
10 Mei lalu.

Sementara itu, seramai 27 komuniti di daerah Beluran, Sabah melibatkan seramai 83 orang peserta dengan keluasan seluas 33 hektar telah menerima manfaat daripada Program Pertanian Organik.

Terdahulu, Ronald juga berkesempatan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Kampung Bauto, Telupid yang terjejas akibat pandemik Covid-19.-MalaysiaGazette