KUALA LUMPUR – Kerajaan konsisten dengan pendirian mengenai penentangan terhadap arak kerana di dalam Al-Quran ia adalah perkara yang haram.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, pihak telah melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat siasatan lanjut berkaitan perkara itu.
“Sikap dan pendirian mengenai penentangan terhadap arak sentiasa konsisten kerana arak jelas di dalam Al-Quran adalah perkara yang haram.
“Sebagaimana firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
“Saya juga telah melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat siasatan lanjut berkaitan perkara ini,” katanya pada hantaran Facebook miliknya hari ini.
Baru-baru ini, pelancaran serta pembuatan arak buatan Malaysia yang dikenali sebagai Arak Timah mendapat kecaman terutamanya dalam kalangan umat Islam yang mana mereka mempertikai penggunaan nama timah yang berbunyi seakan-akan nama orang Melayu.
Rata-rata netizen meluahkan rasa bimbang dengan pengeluaran arak tersebut yang mungkin mengelirukan anak remaja Islam.
Jenama tersebut dilancarkan pada 7 Oktober lalu dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook. – MalaysiaGazette