Jemaah menunaikan solat Jumaat selepas masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan mengikut kapasiti sebenar premis dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain, berkuatkuasa hari ini dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 ketika tinjuan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada Rabu ini (20 Oktober) akan membincangkan isu prosedur operasi standard (SOP) mengenai aktiviti masjid dan surau, termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, beliau telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengatur muzakarah itu bagi mendengar taklimat penilaian risiko semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya percaya suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Idris berkata, semua ahli muzakarah yang terdiri daripada mufti negeri serta ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar turut dijemput hadir dalam muzakarah itu.

Pada Jumaat lepas, Arab Saudi mengumumkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula hari ini (17 Okt). – Bernama