PASIR MAS – Polis menahan seorang bomoh berusia 67 tahun selepas didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun, ketika proses rawatan tradisional dalam kejadian di rumah suspek di Kampung Tendong di sini, pada Jumaat lepas.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 3 petang itu mangsa bersama ibu dan bakal suaminya, telah ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, apabila tiba di rumah itu mangsa telah berjumpa dengan suspek yang dikenali sebagai ‘Ayahsu’ dan isterinya ‘Maksu’ berusia 60-an.

Beliau berkata, suspek kemudian telah meminta mangsa untuk masuk ke dalam sebuah bilik rawatan melalui pintu belakang rumah.

“Semasa mangsa berada di dalam bilik rawatan seorang diri, suspek telah meminta wanita itu supaya menanggalkan seluar.

“Suspek kemudiannya telah menggosok paha mangsa sebelum bertindak merogol mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, suspek turut memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa, selain berpesan kepada mangsa supaya datang sekali lagi untuk rawatan susulan.

“Mangsa yang berasa tertipu telah menceritakan kejadian itu kepada bakal suaminya serta keluarga, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bunut Susu di sini dan pihak polis menahan suspek kira-kira 12 tengah malam,” katanya.

Menurutnya, suspek yang juga pesara itu direman bermula semalam hingga 22 Oktober ini, dan kes disiasat mengikut 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Menjelas lanjut, beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini berkenalan dengan mangsa di sebuah kedai dan mengatakan mangsa mengalami gangguan makhluk halus dan perlu dirawat secara tradisional olehnya.

“Suspek juga dipercayai pernah melakukan perbuatan yang sama terhadap wanita lain, memandangkan sudah menyediakan khidmat perawatan tradisional sejak 1995,” katanya.

Justeru, beliau berharap kepada mana-mana individu yang pernah diperlakukan perkara sama oleh suspek supaya hadir membuat laporan polis. – Bernama