Data menunjukkan jumlah dagangan anggota-anggota CPTPP.

BARU-baru ini, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dikatakan tidak menjamin nasib PKS negara apatah lagi memastikan keuntungan adil pada semua negara ahli terutamanya negara membangun seperti Malaysia. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menegaskan lambakan import barang murah menjejaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan tidak menjadikan Malaysia negara pengeluar.

Malah, defisit perdagangan akan berlaku kerana negara kaya akan terus kaya dan negara mundur akan bertambah mundur.

CPTPP versi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang baharu, bezanya CPTPP diolah kerana tidak disertai oleh Amerika Syarikat dan sebaliknya, disertai China sebagai negara ahli.
TPPA pernah dibantah secara besar-besaran malah tidak dipersetujui secara bersama antara negara-negara ASEAN.

Pada 2015 dahulu, TPPA ditolak terutamanya Indonesia, Thailand dan Filipina atas faktor monopoli syarikat farmaseutikal yang memegang paten bagi ubat-ubatan kritikal.

Tempoh 20 tahun hak ke atas paten bagi sesuatu ubat yang tidak boleh diubah seperti termaktub dalam TPPA, menjadikan harga ubat yang tinggi kerana negara membangun wajib membeli daripada syariakat farmaseutikal negara maju dan tiada kebenaran dari segi harta intelek untuk menghasilkan ubat mampu milik untuk membendung penyakit kronik.

Ratifikasi perjanjian CPTPP memerlukan pindaan akta namun persoalan yang bermain kini ialah adakah CPTPP tergolong dalam perjanjian perdagangan bebas yang merupakan game changer
kepada ASEAN dan Malaysia?

Walaupun AS bukan negara ahli, 22 bab yang dimansuhkan dalam teks asal TPPA belum tentu menjanjikan pulangan baik dan adil kepada setiap negara ahli yang berbeza status iaitu negara maju dan membangun.

11 negara ahli CPTPP setakat ini ialah Australia, Brunei, Jepun, Kanada, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Maka, kelebihan CPTPP ialah adanya titik keseimbangan dagangan tidak begitu jauh memandangkan tiada negara miskin dalam 11 ahli CPTPP di mana kebiasaannya, layanan istimewa dan berbeza (special and differential treatment principle) perlu diamalkan oleh negara maju dalam membantu negara mundur bangkit dan keluar dari kepompong kemiskinan.

Pengecualian tarif ke atas barangan atau perkhidmatan biasanya diamalkan untuk mendekatkan jurang luas antara negara maju dan negara miskin agar hubungan perdagangan lebih seimbang dalam satu tempoh jangka masa yang dipersetujui negara ahli.

Walau bagaimanapun, ketiadaan negara miskin tidak bermakna negara sederhana/membangun mampu memaksimumkan  peluang pembangunan negara.

MATRADE misalnya menjadi platform PKS dengan negara-negara luar yang akan mengimport produk Malaysia.

Platform seperti program eTRADE telah wujud dan hubungan perdagangan dengan beberapa bandaraya seperti Surabaya, Indonesia misalnya telah pun dimulakan.

Faktor penyertaan kuasa besar China ke dalam CPTPP juga tidak semestinya menjanjikan peluang dan ruang positif meskipun Malaysia adalah rakan dagang yang akrab dengan China.

Jika pematuhan setiap negara ahli terhadap Bab 24 “Perusahaan Kecil dan Sederhana” diyakini rakyat, maka tidak ada kemusykilan yang sepatutnya berlaku terutama apabila setiap negara ahli akan mengambil peluang komersil di bawah perenggan Perkara 24.2(a).

Apakah Bab 24 Perjanjian CPTPP menyokong usaha ini? Jika dilihat negara maju berinisiatif tinggi membantu PKS mereka, adakah Malaysia mampu membantu PKS?

Adakah diskusi negara-negara pengeksport akan terhenti di peringkat perkongsian pengalaman dan prinsip amalan terbaik?

Jika ya, maka negara Malaysia akan menjurus sebagai negara pengguna malah impak serius menimpa peniaga PKS.

Perlu diingat sebelum Covid-19 usaha di pringkat ASEAN banyak dijalankan misalnya Singapura membantu latihan bagi negara membangun Vietnam dan lain-lain.

Rakyat ingin melihat usaha berganda terutama dalam kebangkitan semula negara daripada pandemik.

Dr Amalina Ahmad Tajudin
Pensyarah Kanan,
Fakulti Undang-undang dan Syariah,
Universiti Sains Islam Malaysia