KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, kini berada di Australia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya dapat mengesahkan dakwaan tersebut.
“Saya tidak ada maklumat mengenai dakwaan Sajjad kini berada di Australia.
“Sebelum ini pun, polis ada juga terima maklumat kononnya usahawan berkenaan telah melarikan diri ke Danga Bay, Johor Bahru sebelum ditahan oleh polis di Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut terhadap dakwaan itu mendapati perkara itu tidak betul.
Pengesahan Sajjad berada di Australia itu dibuat secara langsung di media sosial miliknya dengan memaklumkan dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia dan secara rasmi berhijrah ke sana dengan bantuan kerajaan Australia.
Sajjad sebelum ini ditahan di sebuah kondominium di Thailand oleh pihak imigresen negara itu, selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan maklumat mengenai keberadaan usahawan dalam buruan berkenaan yang lolos melalui laluan kereta api di Padang Besar, Perlis. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
- Jangan buat spekulasi ganggu siasatan kes Nur Sajat – Polis
- Ekstradisi Nur Sajat: Bukit Aman tunggu kebenaran Thailand
- Bukit Aman sahkan tangkapan Sajat di Thailand