Cosmetic entrepreneur, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman or Nur Sajat. foto arkib MalaysiaGazette
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih popular dengan nama Nur Sajat yang dikehendaki polis lebih setahun lalu telah berjaya ditahan di Thailand.

Sajat yang sebelum ini dilaporkan telah melarikan diri ke negara jiran selepas mahkamah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadapnya telah ditahan awal September ini.

Dia telah ditahan polis Thailand selepas mendapat maklumat kedudukan semasa individu itu di Bangkok daripada pihak berkuasa Malaysia.

Nur Sajat bagaimanapun dilaporkan telah dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan kenalannya sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan Nur Sajat telah ditangkap pada 8 September lalu sekitar pukul 6 petang oleh Jabatan Imigresen Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.

“Malah kita sedang dalam usaha untuk membawa pulang suspek yang dikehendaki dalam beberapa kes di dalam negara ini sedang dipergiatkan oleh PDRM.

“Pada 9 September lalu suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah PDRM, suspek turut dikehendaki di Malaysia bersabit Seksyen 9 dan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

“Sajat juga diburu polis dalam Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,

“Usaha membawa pulang suspek (Sajat) ke Malaysia sedang giat dilaksanakan PDRM,” tegasnya.

Sebelum ini pada Mac lalu Sajat dilaporkan telah melarikan diri sebelum PDRM yang cuba mengesan kedudukannya tidak menolak kemungkinan dia telah lari bersembunyi di negara jiran Thailand.

Rentetan pendakwaan di mahkamah Thailand, Sajat dilaporkan perlu melapor diri setiap 14 hari di Imigresen Thailand walaupun dibebaskan dengan jaminan mahkamah dan suspek dikatakan masih berselindung di sebuah kondominium di tengah ibu kota Bangkok.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sajat kena tahan di Thailand