KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong kurang senang dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) di Melaka malam tadi.
Ini kerana PH dalam satu majlis telah meraikan empat ADUN yang bertindak menjatuhkan kerajaan negeri baru-baru ini dalam satu majlis makan malam tadi.
Malah dua daripada mereka juga penyebab tumbangnya kerajaan PH dahulu sehingga gabungan UMNO dan Bersatu mengambil alih tampuk kuasa di Melaka.
Ironinya kini mereka semua diraikan dalam majlis PH.
Tulis Chee Leong dalam laman Facebook bagaimana mereka yang menjadi pengkhianat diraikan umpama pahlawan.
“Pengkhianat disambut secara pahlawan? Ini lawak,” katanya.
Chee Leong turut memuat naik gambar bekas wakil rakyat DAP yang bertindak lompat iaitu ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee.
Norhizam kelihatan ceria mengangkat tangan sambil menerima tepukan daripada yang hadir dalam gambar tersebut.
Untuk makluman, Norhizam juga memainkan peranan menumbangkan kerajaan negeri bersama-sama bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Kesemua mereka kini sudah dipecat dari parti masing-masing.
Dalam majlis keraian itu juga turut disertai oleh Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebilangan pemimpin dalam DAP termasuklah Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew selain Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari juga hadir.
MalaysiaGazette juga difahamkan usaha itu tidak disenangi oleh segelintir pimpinan PH sendiri.- MalaysiaGazette