Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menggiatkan semula kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ sebagai salah satu langkah dalam mendepani peningkatan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara ini.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, kempen itu dapat menyokong ekonomi tempatan ketika perang tarif dunia semakin memuncak.

Jelasnya, rakyat Malaysia juga perlu bersama-sama memilih produk tempatan berbanding produk asing, melainkan sekiranya tiada alternatif.

“Semua produk dijual di Malaysia perlu dilabelkan sebagai ‘Buatan Malaysia’ atau ‘Buatan Asing’ bagi melicinkan kempen ini.

“Semua GLC (syarikat milik kerajaan) juga perlu membeli produk atau perkhidmatan ‘Buatan Malaysia’ untuk penggunaan mereka.

“Malah, semua syarikat dan perniagaan milik tempatan digesa untuk mengutamakan produk tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Faiz berkata, kempen `Beli Barangan Buatan Malaysia’ akan sedikit sebanyak membantu meningkatkan permintaan terhadap produk tempatan ketika jualan ke AS terjejas.

Ujar beliau, ia juga dapat mengelakkan industri tempatan terjejas teruk akibat lambakan bekalan mengejut.

“Malaysia berhak mengambil langkah-langkah tertentu menjaga kedaulatan ekonominya.

“Justeru, kempen ‘Beli Barangan Buatan Malaysia’ amat penting untuk menyokong industri tempatan, yang mana perlu bagi mengelak krisis ekonomi termasuk pengangguran,” katanya.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump sempena “Liberation Day” mengumumkan tarif baharu yang mana Malaysia tidak terkecuali apabila dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksport ke AS.

Ia merupakan kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tarif asas 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan negara lain, sekali gus dibimbangi memberi kesan kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast