Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad meluangkan masa beramah mesra dengan penerima anugerah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar arak tempatan jenama Timah perlu menukar kepada nama lain kerana ia menimbulkan kontroversi dan dipertikaikan pelbagai pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menegaskan jenama itu jelas bersifat provokasi.

“Saya amat bersetuju sepatutnya benda yang bersifat provokasi ini jangan wujudlah.

“Jangan guna nama yang boleh menimbulkan kekeliruan. Arak itu terang  haram, kita tetap atas nama apa pun tetap haram,” katanya ketika ditemui di Masjid Wilayah Persekutuan selepas merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M hari ini.

Beliau dalam masa yang sama mempertikaikan motif pengeluar arak itu yang menggunakan Timah kerana dilihat cuba mewujudkan normalisasi baharu terhadap minuman yang diharamkan bagi orang Islam.

“Bagi orang Islam, arak merupakan minuman yang tidak boleh kita minum dan nama-nama itu  kita tidak boleh letak nama begitu.

“Apa maksud dia letak nama itu? Adakah untuk wujud normalisasi baharu, yang ini kita bimbang,” katanya lagi.

Idris akan membawa isu tersebut untuk dibincangkan bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan kementerian terlibat dalam masa terdekat.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan supaya mengarahkan sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan terlibat segera menukar jenama Timah berserta gambar pada botol yang digunakan, demi memelihara suasana harmoni di antara pelbagai kaum di negara ini.

Menurut beliau, pihaknya kesal dengan iklan sebuah iklan yang tular di media sosial beberapa hari lalu yang menyatakan sejenis wiski buatan Malaysia diberi nama Tima berserta paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman tersebut.

Selain itu, Pas turut menyuarakan gesaan supaya syarikat tersebut ditutup segera. – MalaysiaGazette