Masjid Hudaibiyah dulunya meriah kini sunyi sepi tanpa jemaah luar yang berkunjung ke tempat penuh sejarah tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Mekah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2021.

MAKKAH- Bagi kebanyakan jemaah yang berkunjung ke Makkah al Mukaramah, menziarahi tempat-tempat bersejarah menjadi salah satu pengisian.

Tidak kira sama ada pada musim haji, melakukan umrah dan ziarah biasa, setiap tempat yang dituju mempunyai memori terhadap kisah lampau Nabi Muhammad SAW.

Sebagai kumpulan perintis jemaah umrah dan ziarah dari Malaysia selepas hampir dua tahun seluruh dunia dilanda Covid-19, persekitaran di sini telah merubah hampir semua aspek termasuk berkaitan ibadat di Tanah Suci.

Sebahagian jemaah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. melawat sekitar kawasan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2021.

Gembira berbaur sedih kerana ketika lebih 30 juta rakyat Malaysia masih berada dalam negara, kami diberi peluang untuk menjadi tetamu Allah.

Selepas empat hari berziarah di Madinah, kunjungan ke Makkah menyempurnakan rombongan kami yang tiba sejak 14 Oktober lalu.

Selepas bertahun-tahun merindui untuk kembali ke kota kelahiran Nabi Muhammad, peluang yang diberikan kepada MalaysiaGazette disambut dengan rasa syukur oleh penulis.

Setiap mereka yang berada di Arab Saudi perlu memuatnaik aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2021.

Penulis berpeluang menjejaki tempat-tempat yang menyaksikan syiar Islam atas muka bumi yang menjadi idaman dan sebutan jemaah.

Ketika melawat Bukit Thur yang setinggi 470 meter dari aras laut, sehari sebelum ke Hudaibiyah, anggota rombongan hanya dibenarkan setakat menjejakkan kaki dan bergambar kerana Kerajaan Arab Saudi sedang membangunkan kawasan berkenaan sebagai destinasi baharu pelancongan.

Lokasi yang sarat dengan sejarah Nabi Muhammad SAW bersembunyi di dalam gua sebelum berhijrah ke Madinah, langsung tidak dapat didekati kerana ditutup kepada umum.

Program seterusnya disambung ke Jabal Rahmah, sebelum berhenti di Masjid Jaaranah yang menjadi miqat kepada anggota jemaah yang ingin memasang niat umrah di situ.

Seperkara yang perlu diingatkan, untuk melakukan umrah waima melakukan solat lima waktu di dalam Masjidil Haram ketika ini perlu ditempah melalui slot dalam aplikasi Eatmarna.

Jemaah melakukan persiapan serta miqat niat ihram di Zulhulaifah Masjid Bir Ali sebelum menuju ke Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah Umrah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2021.

Meskipun dalam satu kumpulan, tidak semua jemaah mendapat waktu yang sama. Jadi kalau ke mana-mana yang menjadi miqat, kami bawa kain ihram siap-siap!

Hakikatnya, sebagai kumpulan pertama, banyak perkara tidak boleh dipastikan dan sentiasa bersedia dengan senario baharu.

Semuanya penangan Covid-19.

Itulah yang dilalui ketika penulis bersama anggota rombongan lelaki, bergerak berjemaah untuk melawat ke Masjid Hudaibiyah, yang terletak 22 kilometer di barat Makkah menuju ke Jeddah pada pagi Rabu.

Persekitaran Masjid Hudaibiyah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Makkah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2021.

Tanyalah sesiapa sahaja jemaah dari Malaysia, mereka mempunyai momen sendiri berkunjung ke tempat yang masyhur dalam sejarah Islam.

Selain menjadi tempat memasang niat untuk melakukan ibadat ihram, nama Hudaibiyah sentiasa di bibir daripada generasi ke generasi.

Teruja sungguh untuk melihatnya

Namun, ketika sampai, hanya bangunan dan papan tanda yang menjadi petunjuk bahawa kami tidak tiba di tempat yang salah kerana tiada lagi deretan bas pelancong dan kenderaan yang beratur di tepi jalan.

Ketika turun dari bas, mata terus menghala ke perkarangan.

Sama seperti  masjid Bai’atur Ridhwan yang kini hanya terdapat sisa tiang batu, masjid baharu yang terletak bersebelahan turut sunyi sepi dan berkunci!

Segala karenah pekedai yang dulu riuh rendah menyapa dan mempelawa jemaah dengan bahasa Melayu untuk singgah, juga tertutup rapat. Tiada seorang pun ada.

Masa seakan terhenti di sini…

Terbayang pelbagai jualan termasuk yang menjadi ‘signature’ Hudaibiyah iaitu hati dan susu unta.

Di sini, hampir 20 minit anggota berjemaah menyelinap di celah-celah runtuhan masjid Bai’atur Ridhwan untuk merakam gambar bagi dijadikan kenangan.

Sepanjang tempoh itu juga, tiada sesiapa yang singgah kecuali kami.

Suasana jemaah melakukan solat-solat sunat dalam kawasan Raudhah mengikut kapasiti yang ditetapkan kerajaan Arab di Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2021.

Semoga selepas kerajaan membenarkan rakyat Malaysia berkunjung ke Tanah Suci dan kelonggaran Arab Saudi untuk membenarkan umat Islam menunaikan umrah dan ziarah, masjid Hudaibiyah kembali ‘berseri’.

“Haji-haji, murah-murah”, terngiang-ngiang di telinga penulis kenangan lalu ketika melangkah menaiki bas.

Kami berangkat dalam keadaan terkilan…

Bukan setakat itu, hasrat untuk menikmati susu unta segar juga tidak kesampaian kerana dimaklumkan mutawif ladangnya masih ditutup kerana Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast