Annil Vigneswaran (kiri) berbual dengan Brad Maloney. Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pemain yang berpangkalan di Jerman, Annil Vigneswaran telah melaporkan diri di hotel penginapan pasukan di Ulaanbaatar, Mongolia sebaik skuad B-22 kebangsaan tiba di sana bagi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022.

Ketua jurulatih B-22 kebangsaan, Brad Maloney menjelaskan faktor pemilihan pemain pertahanan berusia 18 tahun itu dalam senarai akhir skuad 23 pemain yang dibawanya ke Ulaanbaatar untuk berdepan Laos, Mongolia dan Thailand.

“Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya. Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.

“Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau.

“Annil kemudian telah pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana pusingan akhir kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.

“Tapi sejak dari itu, kami sentiasa memantau perkembangan prestasinya di Jerman dan berdasarkan video dan maklum balas yang diterima, cukup positif.

“Keputusan telah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini,” jelas Maloney dalam satu kenyataan di Facebook FAM hari ini.

Seramai 23 pemain telah dipilih termasuk tiga pemain daripada skuad senior iaitu Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Quentin Cheng (Penang FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk).

Turut tersenarai, dua pemain baharu yang dipanggil ketika kem latihan pusat Fasa 2 berlangsung iaitu Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC II) dan Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC 2).

Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober ini diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober ini dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi) bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Ketiga-tiga perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast