Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menunjukkan bungkusan dadah dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM1.23 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah berskala besar didalangi warga tempatan tumpas dengan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah tempat letak kereta residensi mewah, Jalan Bukit Palma 2, Kajang pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu turut menyerbu tiga lagi lokasi berasingan di Selangor dengan rampasan pelbagai jenis dadah serta wang tunai.

Katanya, risikan terhadap sindiket pengedaran dadah yang berpusat di Brickfields itu telah dijalankan sejak awal September lalu.

Bungkusan dadah dan wang tunai bernilai RM1.23 juta yang dirampas dalam empat serbuan di Selangor pada Selasa lalu. – Foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2021.

“Dalam serbuan pertama di sebuah tempat letak kereta, polis berjaya memberkas seorang suspek lelaki berusia 31 tahun bersama sebuah beg galas yang di dalamnya terdapat satu bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 1.05 kilogram (kg).

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, JSJN Kuala Lumpur kemudiannya telah menyerbu lokasi kedua iaitu salah sebuah unit di residensi mewah berkenaan dan menemui sebanyak 18 bungkusan plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin seberat 8.05kg.

“Selain itu, polis turut merampas dua bungkusan plastik berwarna hijau dan empat bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 3.12 kg,” katanya menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo bercakap pada sidang kejayaan membongkar sindiket dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2021.

Mengulas lanjut, Lei Choo berkata, serbuan ketiga di sebuah residensi mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi pula berjaya menemui dadah jenis methamphetamine seberat 21.1 kg yang disimpan di dalam 20 bungkusan plastik berwarna hijau.

Jelasnya, sebanyak 28 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 12.61 kg turut ditemui di dalam sebuah bilik di unit berkenaan yang dijadikan sebagai stor dadah.

“Dalam serbuan di lokasi keempat di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Tanming Jaya, Balakong, polis telah menemui wang tunai berjumla RM60,520 di dalam sebuah bilik.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyewa beberapa premis kediaman mewah sebagai tempat penyimpanan dadah dan di sewa selama dua bulan pada bayaran harga RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

“Hasil tangkapan ini kita turut berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang di kesan aktif selama dua bulan di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menunjukkan bungkusan dadah dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM1.23 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2021.

Jelas Lei Choo, secara keseluruhan, nilai rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 25.27 kilogram dan heroin dianggarkan seberat 20.66 kg itu bernilai lingkungan RM1.17 juta.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kata beliau, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 26 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette