SERDANG- Lima beradik yang kehilangan kedua ibu bapa akibat virus Covid-19 baru-baru ini dijadikan anak angkat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pertubuhan itu akan membiayai kos pendidikan kelima-lima beradik tersebut sehingga mereka berusia 21 tahun.
“Sedih kita lihat apabila lima anak kecil tiba-tiba kehilangan ibu bapa walaupun ada datuk, di mana masa depan mereka kalau tidak ada bantuan kewangan? Mungkin mereka boleh jadi golongan tercicir,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu Saravanan menziarahi dan menyantuni kelima-lima adik-beradik berkenaan di Kota Perdana, Seri Kembangan.
Mereka adalah Hanan (3 tahun), Hawwas (6 tahun), Harraz (8 tahun), Humaira (9 tahun) dan Hadrami (11 tahun).
Dalam masa sama, Menyeri Sumber Manusia itu menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat.
Setiap bulan lima beradik berkenaan akan menerima RM835.70 setiap bulan.
Untuk rekod, bapa lima beradik tersebut Hasil Tahal meninggal dunia pasa 11 Ogos lalu akibat Covid-19.
Dua bulan kemudian ibu mereka, Ida Haryanie Abdul Razak meninggal dunia juga akibat jangkitan Covid-19
Sehubungan itu, Saravanan menggesa kepada majikan untuk membuat caruman kepada para pekerja mereka.
Tambahnya, majikan yang gagal bertindak demikian boleh didakwa.
“Mungkin kali ini kita minta PERKESO untuk tegas, apabila tidak mencarum boleh dipenjarakan.
“Saya beri amaran kepada majikan jangan sampai ada yang jadi mangsa penjara dua tahun. Saya bukan ugut tetapi lihat keadaan begini, jadi kita lihat tanggungjawab majikan,” ujarnya.
Kata beliau, sehingga kini kira-kira 2,500 majikan telah didakwa kerana tidak mencarum untuk pekerja.
Sementara itu, Saravanan memberitahu, terdapat 37,337 pecarum kes Covid-19 yang berdaftar dengan PERKESO.
Sebanyak, 2,617 kes kematian telah menerima FPM, manakala 2,237 selesai menerima Pencen Penakat. – MalaysiaGazette