Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Berduka dengan 5,173 kanak-kanak yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana kehilangan ibubapa akibat wabak Covid-19, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia.

Menurut Ismail Sabri, yayasan itu akan diangkat sebagai institusi yang akan membantu anak-anak dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Keluarga Malaysia secara langsung dari Borneo Convention Centre Kuching (BCKK), Sarawak.

Majlis turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Abang Openg serta barisan Kabinet antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadzilah Yusof.

Tambah Ismail Sabri, Yayasan Keluarga Malaysia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang kita zahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik.

“Yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

“Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penubuhan yayasan ini diilhamkan daripada kisah 13 anak daripada dua buah keluarga yang kehilangan ibubapa mereka kerana positif Covid-19.

Ismail berkata, episod kehidupan Nazurah Nabilah Benyajeed yang berusia 19 tahun terpaksa menjaga 7 adiknya, manakala Hadrami Hasil yang terpaksa menggalas tugas sebagai kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya menjadi penyebab kepada penubuhan yayasan ini. – MalaysiaGazette