Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja untuk mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun dijalankan bermula esok melibatkan 3,416 pelajar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini jumlah yang bakal menerima vaksin membabitkan 1,235 pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (1,181) dan maahad tahfiz (1,000).

“Inisiatif mempercepatkan vaksinasi remaja serta melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan akan bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran bertempat di Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya, Klang.

“Program juga dilaksanakan di beberapa lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) antaranya DUN Pelabuhan Klang, Tanjung Sepat dan Bukit Lanjan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin berkata, program menggunakan kaedah pra-pendaftaran melalui kod baucar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seperti dilaksanakan untuk Selvax Komuniti.

Pada 7 Oktober lepas, Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Selangor sebelum ini melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat minggu lalu.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast