KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS)  kembali sesak selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri sejak 11 Oktober lalu.

Ini merupakan cuti hujung minggu kedua selepas kebenaran untuk berbuat demikian diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati aliran trafik mula bergerak perlahan selepas susur keluar Pedas-Linggi sehingga susur keluar Senawang menghala utara berikutan pertambahan jumlah kenderaan antara pukul 2 hingga 5 petang tadi.

Namun, aliran trafik mula dilihat lancar selepas susur keluar Nilai sehingga ke Plaza Tol Sungai Besi.

Ia berikutan orang ramai yang mula kembali ke ibu negara selepas menghabiskan cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.

Sementara itu, jumlah kenderaan di laluan bertentangan juga dilihat meningkat dan bertali arus menghala ke arah selatan.

Pada 10 Oktober lalu, kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Perdana Menteri  berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah mencapai 90 peratus. – MalaysiaGazette