Tuan Ibrahim (kiri) merasmikan bangunan Pas Selangor di Persiaran Akuatik Seksyen 13 Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM – Muktamar Pas ke-67 yang akan berlangsung selama dua hari di Terengganu pada 6 dan 7 November ini akan diadakan secara fizikal dan hibrid, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, kehadiran perwakilan dan jurucakap dihadkan sekitar 100 hingga 200 orang dengan SOP yang ketat, manakala selebihnya akan mengikuti secara dalam talian di negeri serta kawasan masing-masing.

“Semua Dewan-dewan Pas pusat iaitu Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda baharu sahaja selesai bermesyuarat dan masing-masing akan hantar laporan ke peringkat dalam masa terdekat untuk kita umumkan kepimpinan baharu sesi 2021-2023.

“Alhamdulillah, semua mesyuarat berjalan dengan baik dan lancar, tidak ada kempen yang mencetuskan insiden tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pas Selangor di sini, malam tadi.

Ditanya bagaimana Pas akan menghadapi dua program besar serentak iaitu muktamar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tuan Ibrahim berkata, parti itu tidak ada masalah kerana pernah berdepan situasi sama sebelum ini.

Tambahan pula, kata beliau, kempen PRN Melaka boleh dilakukan menerusi media sosial berikutan larangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada semua parti agar tidak mengadakan sebarang aktiviti Perhimpunan berkuatkuasa hari ini, 25 Oktober.

Menurutnya, walaupun semua pemimpin Pas berada di Terengganu, kempen boleh diadakan secara rakaman di negeri itu dan dipancarkan kepada jentera dan pengundi di Melaka.

“Kita pernah alami situasi yang sama iaitu muktamar dan kebetulan juga ada pilihan raya. Ketika itu petugas terpaksa berkempen secara fizikal, sekarang kempen online sahaja, lagi mudah.

“Walaupun kita di Terengganu, kita boleh buat ceramah malam itu di Terengganu dan pancarkan kepada mereka di Melaka. Kita tidak perlu bergegas ke negeri itu yang jaraknya agak jauh,” katanya.

Beliau juga berkata, Pas sudah membentuk dua jawatankuasa pilihan raya iaitu Jawatankuasa Induk yang dipengerusi oleh tiga Naib Presiden.

Katanya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan menjaga kawasan Selatan, Senator Datuk Idris Ahmad kawasan utara, Datuk Nik Amar Abdullah kawasan Pantai Timur dan beliau sendiri menjaga Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa kedua pula, ujar beliau, Jawatankuasa Teknikal Pilihan Raya yang diketuai Dr. Wan Nik Wan Yusoff. – MalaysiaGazette