Penduduk Sudan melakukan protes di jalanan. foto RT World

KHARTOUM – Politik Sudan kembali bergolak selepas pasukan tentera tidak dikenali dilaporkan menawan kediaman dan menahan Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok.

Dalam kejadiaan awal pagi tadi, empat menteri kabinet dan seorang perwakilan awam Majlis Tertinggi Sudan turut menerima nasib yang sama.

Memetik laporan TRT World melalui sumber kementerian penerangan negara itu, Hamdok ditahan selepas dikatakan enggan menyokong rampasan kuasa.

Setakat ini tiada butiran lanjut mengenai perkembangan yang berlaku dan penduduk mendakwa mengalami gangguan perkhidmatan internet serta telefon.

Susulan ketegangan terbaharu, polis di bandar Khartoum turut melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menuntut pemindahan kuasa daripada tentera kepada kerajaan pilihan rakyat.

Sejak Khamis lalu, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di bandar Khartoum, Omdurman, Nyala, Ed Dueim dan banyak tempat melaungkan desakan meminta Ketua Majlis Tertinggi, Jeneral Abdul Fattah al-Burhan menyerahkan kuasa.

Tempoh sah penggal perkhidmatan 11 ahli majlis negara itu berakhir bulan depan dan selepas itu, majlis tentera akan menyerahkan kuasa kepada kerajaan pilihan rakyat.

Rampasan kuasa sering berlaku di Sudan sejak tahun 2019 akibat krisis ekonomi yang buruk dan kemerosotan mendadak taraf hidup.

Bantahan berterusan berjaya menjatuhkan Presiden Omar Hassan al-Bashir, yang memerintah selama 30 tahun. – RT World