Pekerja bersiap sedia melakukan kerja-kerja memasang khemah sebagai persiapan akhir susulan kerajaan membenarkan aktiviti perniagaan bazar Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2021.

SEJAK awal Ogos lalu, sebuah siri libat urus awam telah diadakan di bawah payung ‘Agenda Bajet Belia 2022’, suatu platform konsultasi awam dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia dan beberapa pertubuhan lain.

Siri konsultasi ini telah diadakan dengan melibatkan 30 kumpulan belia berpersatuan dan juga belia-belia tidak berpersatuan termasuk sayap pemuda parti-parti politik bagi mengangkat suara belia dan memungut dapatan cadangan untuk diambil kira oleh Kerajaan Malaysia dalam merangka Belanjawan 2022.

Agenda Bajet Belia 2022 ini juga ialah inisiatif untuk benar-benar memaknakan idea Keluarga Malaysia gagasan perdana menteri, sekali gus memastikan suara dan aspirasi belia daripada semua lapisan umur, kumpulan kerja dan kaum dapat disalurkan secara terus kepada pentadbiran tertinggi Malaysia. Ia juga sebagai tanda cakna dan keprihatinan terhadap isu-isu belia.

Berdasarkan penelitian unjuran prestasi terkini ekonomi negara serta inisiatif pembaharuan kewangan awam, berikut ialah cadangan-cadangan daripada sesi-sesi konsultasi awam tersebut:

1. Memperkasa ekonomi belia dengan mewujudkan Dasar Ekonomi Belia melalui insentif, geran-geran bantuan dan pembiayaan boleh ubah yang mesra belia. Antara langkah khusus yang dicadangkan di bawah dasar ini adalah:

1.1 Pembentukan sebuah badan khusus yang menghimpunkan usahawan belia daripada pelbagai bidang ke arah membuat sebuah ekosistem keusahawanan yang mapan.

1.2 Merangka sebuah mekanisme yang berkesan untuk membuat kajian mengenai dasar dan inisiatif kerajaan dan swasta bagi menyokong ekonomi belia, serta mengelola kebajikan ekonomi belia.

1.3 Mempelbagaikan jenis geran untuk merangkumi dengan lebih meluas kumpulan sasaran dan bidang keusahawanan yang dipelopori secara majoriti oleh belia seperti bidang e-sukan, agropreneur dan lain-lain.

1.4 Mempermudahkan kaedah permohonan geran, pemantauan keberhasilan dan bantuan lanjutan untuk perusahaan-perusahaan yang dipelopori oleh usahawan belia.

2. Memperkasa usaha pembangunan masyarakat India di Malaysia, sama ada melalui program-program sedia ada atau inisiatif-inisiatif baharu:

2.1 Membendung keciciran sekolah dikalangan pelajar berbangsa India terutamanya yang berada di luar bandar.

2.2 Menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di peringkat persekolahan seperti mewujudkan sekolah berasrama penuh (SBP) khusus untuk masyarakat India, atau menyediakan kuota di SBP-SBP sedia ada.

2.3 Menggalakkan kemasukan lebih ramai pelajar berketurunan india ke pengajian tinggi, sama ada saluran akademik atau pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) berdasarkan bakat dan minat mereka.

2.4 Meningkatkan peruntukan pendidikan khusus kepada belia kaum India sehingga ke peringkat pengajian tinggi melalui kementerian-kementerian yang berkenaan.

3. Meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan per kapita bagi memastikan imbangan pendapatan negara dan rakyat pasca pandemik COVID-19.

4. Melalui MyDIGITAL dan JENDELA, merendahkan kos dan memudahkan akses usahawan-usahawan khususnya kaum belia kepada infrastruktur digital. Ini termasuklah subsidi untuk akses kepada rangkaian 5G dan hubungan internet berkelajuan tinggi lain untuk jangka pendek.

5. Mempercepat peningkatan capaian internet ke kawasan luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Selain memudahkan proses pendidikan rakyat, ia juga membantu pembangunan ekonomi di kawasan desa, termasuk pemasaran produk-produk tradisional atau artisanal ke pasaran lebih meluas.

6. Subsidi bersasar bagi yuran-yuran kemasukan ke IPTA/IPTS, dengan menyasarkan kumpulan-kumpulan yang kurang bernasib baik dan program-program pengajian yang memerlukan bantuan lonjakan untuk berkembang.

7. Meluaskan cakupan program insentif dan geran bantuan kerajaan kepada belia-belia lepasan bidang kemahiran (TVET).

Belanjawan 2022 pastinya bakal memberikan kesan jangka panjang yang besar kepada dasar fiskal ekonomi negara. Langkah Kementerian Kewangan mengeluarkan Kenyataan Pra-Bajet wajar dilihat sebagai usaha reformasi belanjawan negara seterusnya memastikan ketelusan dan keterlibatan sebanyak mungkin pihak termasuk golongan belia dalam proses merangka bajet tahunan negara.

Di samping itu, libat urus ini juga turut mengumpulkan aspirasi belia di bawah kerangka besar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), yang akan diterjemahkan kepada target-target khusus yang akan dicadangkan kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dalam masa terdekat.

Senator Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal