Mangsa meninggalkan keretanya sebelum bertindak terjun di Jambatan Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN – Lagi insiden lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 6.8 arah Pusat Bandar, di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 5.48 petang yang memaklumkan lelaki berusia 33 tahun telah bertindak terjun ke dalam laut.

Katanya, mangsa yang menetap di Taman Helang Jaya, Nibong Tebal itu turut meninggalkan sebuah kereta jenis Proton Waja di atas Jambatan Pulau Pinang serta kad pengenalan diri.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan bantuan Pasukan Polis Marin dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera.

Operasi pencarian secara permukaan dilakukan, namun mangsa belum ditemui.

“Pencarian dilakukan secara permukaan atau kaedah ‘Surface Searching’ di sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, insiden tersebut adalah kejadian kedua sejak semalam apabila seorang lagi mangsa yang dipercayai terjun Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di kilometer 12.6 arah Batu Maung, di sini.

Sehingga kini, mayat lelaki berusia20 tahun yang menetap di Taman Cenderawasih Indah, Nibong Tebal, itu masih belum ditemui.

Pencarian yang memasuki hari kedua itu dihentikan sementara pada pukul 7.30 petang tadi susulan keadaan cuaca dan akan disambung semula pada jam 7.30 pagi esok. – MalaysiaGazette