Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Harga kit ujian air liur Covid-19 bakal dijual pada harga lebih murah iaitu di bawah RM10  pada akhir bulan ini, kata Datuk Rosol Wahid.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pengguna hanya perlu membeli kit yang telah diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Jelas beliau, kementerian sebelum ini menetap harga runcit RM19.90 namun ramai pengeluar produk berjanji untuk menurunkan harga tersebut.

“Ramai pengeluar yang memohon kepada kita dan beritahu sanggup menjual di bawah RM10. Pada asalnya kementerian hendak tetap harga RM15 atau RM13.

“Kalau dibenarkan di pasaran terbuka dan diluluskan MDA, mereka boleh menjual lebih murah. Saya yakin janji pemain (industri) ini akan dikotakan akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Rosol memberitahu, kit ujian kendiri Covid-19 bukan sahaja akan dijual di farmasi atau kedai-kedai ubat tetapi akan diperluas penjualannya di pusat beli-belah, rantaian kedai dan stesen minyak dalam masa terdekat.

“Jadi ini akan memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkan kit ujian kendiri dan juga untuk memastikan berlaku persaingan sihat,” jelasnya. – MalaysiaGazette