Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said memberi ucapan pada taklimat Ops Penguatkuasaan ke 75 oleh Jabatan Imigresen ke atas pekerja asing di Pejabat Imigresen Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 20 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Hukuman bagi kesalahan penyeludupan migran ketika ini iaitu penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya dicadang ditingkatkan kepada seumur hidup dan juga boleh disebat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 itu turut memperuntukkan pegawai awam yang menyeludup migran ketika melaksanakan kewajipan awamnya tergolong dalam kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat.

“Pindaan itu juga meliputi hukuman penjara bagi kesalahan penyeludupan migran dinaikkan daripada tidak melebihi 15 tahun kepada maksimum 20 tahun.

“Selain itu, pindaan juga membabitkan hukuman penjara berhubung kesalahan pemerdagangan orang dalam transit yang dinaikkan daripada tempoh maksimum tujuh tahun kepada tidak melebihi 15 tahun,” kata di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama.

RUU itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).