Mohd Shuhaily

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan sembilan individu termasuk tujuh warga Rohingya yang terlibat dalam satu kes culik dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Sungai Petani, Kedah pada Isnin lalu.

Kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 48 tahun itu terdiri daripada tujuh lelaki Rohingya serta masing-masing seorang wanita dan lelaki warga tempatan.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa yang merupakan seorang lelaki telah menyelamatkan seorang wanita warga Rohingya sebelum saudara wanita tersebut yang juga suspek utama kes tampil meminta mangsa menyerahkan wanita itu kepadanya.

Mangsa enggan berbuat demikian sebaliknya bersetuju menyerahkan wanita terbabit sekiranya suaminya datang bersama.

Tidak puas hati dengan tindakan mangsa, saudara wanita itu merancang untuk menculik mangsa dengan alasan mahu menukarkan wanita tersebut sebagai tebusan.

Bagaimanapun, selepas diculik suspek bertindak menelefon abang mangsa dan meminta wang tebusan sekiranya mahu mangsa dibebaskan.

Bimbang sesuatu buruk berlaku, abang mangsa menyerahkan wang tebusan kepada suspek menerusi akaun seorang wanita tempatan yang turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa pekerjanya yang juga warga Rohingya berusia 26 tahun dilarikan dua lelaki menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan pada jam 10.43 malam 21 Oktober lalu.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan berjaya menyelamatkan mangsa pada Isnin lalu di Kampung Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.

“Susulan itu, beberapa siri serbuan dilakukan yang membawa kepada tangkapan sembilan suspek termasuk seorang wanita.

“Kesemua warga Rohingya yang ditahan dalam kes ini mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas wang tebusan berjumlah RM3,000 yang diberikan keluarga mangsa kepada suspek serta kereta Viva yang digunakan untuk melarikan mangsa,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan .

“Tiga suspek termasuk ketua kumpulan akan dituduh di Mahkamah Majistret Isnin ini di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette