Sebuah restoran makanan meletakkan iklan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan kadar 6 peratus bagi memberitahu pelanggan bermulanya sistem cukai SST ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022 dianggar lebih tinggi kepada RM234 bilion atau 14.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) didorong oleh jangkaan peningkatan hasil cukai kepada RM171.4 bilion dan hasil bukan cukai berjumlah RM62.6 bilion.

Jumlah perbelanjaan juga dianggar lebih tinggi kepada RM332.1 bilion atau 20.3% kepada KDNK disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi kepada RM233.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM75.6 bilion.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama merangkumi 73.2% daripada hasil keseluruhan dan dijangka meningkat kepada RM171.4 bilion.

Bagaimanapun, hasil cukai sebagai peratusan kepada KDNK dijangka berkurang kepada 10.5% menggambarkan keapungan cukai yang lebih rendah semasa tempoh pemulihan ekonomi.

Laporan Tinjauan Fiskal 2022 berkata, kutipan cukai langsung meningkat 6.1% kepada RM127.3 bilion yang merangkumi 74.3% daripada hasil cukai disokong oleh prospek pendapatan korporat yang lebih baik.

Oleh itu, cukai pendapatan syarikat dijangka kekal sebagai penyumbang terbesar peningkatan cukai langsung berjumlah RM65.5 bilion pada tahun depan.

Cukai pendapatan individu pula dijangka meningkat 3% kepada RM37.5 bilion selaras dengan jangkaaan pemulihan pasaran pekerjaan.

Manakala cukai pendapatan petroleum dijangka mencatat kutipan lebih tinggi sebanyak RM12.4 bilion.

Pendapatan daripada cukai langsung yang lain iaitu duti setem dan cukai keuntungan hartanah diunjur lebih tinggi kepada RM6.6 bilion dan RM1.8 bilion berdasarkan jangkaan peningkatan nilai dan jumlah transaksi daripada segmen hartanah.

Cukai tidak langsung diunjur meningkat 5.4% kepada RM44 bilion disumbang oleh cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Kutipan cukai SST dijangka merekodkan RM27.6 bilion atau 1.7% kepada KDNK disokong oleh sentimen pengguna dan perniagaan.

Daripada jumlah ini, cukai jualan diunjur merekodkan RM14.6 bilion manakala cukai perkhidmatan pula RM13 bilion berdasarkan unjuran jumlah jualan industri (TIV) kenderaan bermotor lebih tinggi serta prospek sektor telekomunikasi dan insurans lebih baik.

Kutipan duti eksais juga diunjur meningkat kepada RM10.2 bilion selaras dengan jangkaan peningkatan pengeluaran kenderaan bermotor sebanyak 21% pada tahun depan.

Hasil bukan cukai diunjur bertambah 5.8% kepada RM62.6 bilion disumbang oleh pendapatan pelaburan lebih tinggi.

Dividen Petronas diunjur sebanyak RM25 bilion manakala Bank Negara Malaysia RM5 bilion.

Laporan itu turut menyebut, kerajaan akan menerima bayaran khas KWAP sebanyak RM5 bilion bagi membiayai sebahagian bayaran persaraan.

Kutipan lesen dan permit juga dijangka meningkat kepada RM10.9 bilion disumbangkan oleh royalti petroleum lebih tinggi iaitu RM4 bilion.

Kutipan daripada komponen utama lain di bawah lesen dan permit kenderaan bermotor dan levi pekerja asing dianggar stabil kepada RM3 bilion dan RM1.9 bilion.

Hasil berkaitan petroleum pada tahun depan dijangka RM43.9 bilion atau 18.8% daripada jumlah hasil dengan dividen Petronas menyimbang lebih daripada separuh jumlah hasil berkaitan petroleum.

Sementara itu, hasul bukan petroleum diunjur naik 6.5% kepada RM190.1 bilion, mencerminkan kepelbagaian sumber berikutan prospek ekonomi yang baik. – MalaysiaGazette