Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan melobi ahli Parlimen untuk menggubal undang-undang arak dan judi yang lebih ketat di negara ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selain itu, rangkaian aktivis anti arak dan judi juga akan digerakkan dalam misi jelajah ke seluruh negara termasuk ke sekolah, universiti, gereja, kuil dan masjid.

MAPIM juga  mendesak kerajaan meningkatkan cukai dan fi lesen bagi arak dan judi kepada tidak kurang daripada 50 peratus.

“Dalam Keluarga Malaysia, ada tiga perkara yang disebut Perdana Menteri. Salah satu daripadanya ialah kesyukuran.

“Kalimah kesyukuran agak jadi pelik kalau kita membiarkan gejala ini berterusan, kita nak bersyukur apa? Apakah kita boleh berbangga Keluarga Malaysia menjadi pengeluar wiski terbaik di dunia?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan  Kempen “Selamatkan Keluarga Malaysia dari Arak dan Judi” anjuran bersama Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) di sini hari ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid berucap ketika merasmikan kempen “Selamatkan Keluarga Malaysia dari Arak dan Judi” di Pejabat Presiden Mapim, Space U8, Shah Alam hari ini.

Menurut Mohd Azmi, inisiatif berkenaan diambil setelah melihat wujudnya peningkatan gejala arak dan judi yang merosakkan sebilangan warga Malaysia dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Kesannya (arak) amat parah ke atas kesihatan, kestabilan keluarga, bebanan ekonomi, jenayah, keselamatan awam dan terhakisnya wang negara,” katanya lagi.

Kempen yang sama disokong lebih daripada 37 badan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada pertubuhan pelbagai agama dan bangsa seperti Association of Nexgen Christians of Malaysia (ANCOM) dan Persatuan Perintis Malabari Malaysia (PPMM).

Sejak kebelakangan ini isu arak berjenama Timah menjadi kontroversi sehingga menjadi topik utama orang ramai termasuk ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat – MalaysiaGazette