Gelagat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) semasa memasuki kolej kediaman ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kolej Mawar UiTM Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM11.4 bilion disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera bagi memastikan agenda pemerkasaan kaum itu diberi keutamaan dalam Bajet 2020.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.6 bilion disediakan untuk kemudahan pendidikan buat anak-anak Bumiputera antaranya di bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju.

Peruntukan ini disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan, kata Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz ketika membentang Bajet 2022.

Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat teras dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada RM300,000 sehingga RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025.

Bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek-projek berskala kecil perolehan kerajaan, sebanyak RM200 juta akan disediakan.

Sebagai tambahan, kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan program accelerator khusus kepada kontraktor belia G1 hingga
G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan RM10 juta. – MalaysiaGazette