Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR- Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus hingga 6.5 peratus serta peningkatan harga minyak dunia yang kini naik melebihi AS$80 setong menyumbang kepada pendapatan kerajaan untuk menampung Bajet 2022.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan jangkaan aktiviti ekonomi semakin rancak pada tahun hadapan, kerajaan diramal mampu mengutip cukai langsung yang lebih tinggi selain meraih pendapatan berbentuk dividen pelaburan yang lebih besar daripada Bank Negara Malaysia, Khazanah Nasional dan sebagainya.

“Pendapatan daripada hasil minyak juga dijangka meningkat yang mana Bank Islam mengunjurkan harga komoditi itu didagangkan sekitar AS$65 setong tahun depan.

“Pada kadar itu pun, sudah dianggap sebagai satu angka yang sangat baik untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan dan menampung perbelanjaannya,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan khas Bajet 2022: Bajet Terbesar Untuk Keluarga Malaysia yang disiarkan Malaysia Gazette.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam dalam program Khas Bajet 2022 di Studio MG, Sungai Besi. Foto FAREEZ FADZIL, 29 OKTOBER 2021.

Menurut Mohd. Afzanizam, kerancakan ekonomi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan dalam masa sama terdapat kemungkinan berlaku kenaikan gaji kepada para pekerja yang sekali gus menambah kuasa beli kepada pengguna.

Tambahan pula katanya, rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan membeli yang tinggi dan dan mampu membantu memulihkan ekonomi negara.

Bagaimanapun menurut beliau, disebabkan defisit bajet kali ini adalah tinggi iaitu enam peratus, kerajaan terpaksa membiayai perbelanjaan pembangunan menerusi instrumen hutang.

Bagaimanapun, 97 peratus daripada hutang kerajaan adalah dalam denominasi ringgit dan ia tidak mempunyai masalah untuk meraih dana melalui terbitan bon atau sukuk.

Malah menurut Mohd. Afzanizam, hutang-hutang yang diterbitkan kerajaan diminati oleh pelabur asing yang mana 40 peratus daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dimiliki oleh pelabur asing.

“Maksudnya mereka (para pelabur asing) berminat untuk membiayai hutang kerajaan.

“Jika kerajaan tidak mempunyai kemampuan, masakan pelabur asing minat untuk melabur dan ini menunjukkan kerajaan sememangnya mempunyai ruang untuk berbelanja sama ada daripada hasil cukai atau bukan cukai serta sebahagian defisit pula ditampung oleh instrumen hutang,” katanya lagi.- MalaysiaGazett