Hawa bersama Allah yarham Farhan

JOHOR BAHRU – “Setiap kali selepas solat saya akan berdoa kes ini berpihak kepada arwah sehingga terbawa-bawa dalam mimpi,” kata Hawa Osman.

Itu harapan ibu kepada Pegawai Kadet, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang mana keputusan kes bunuh bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu empat tahun lalu akan diketahui esok.

Hawa,58, berkata, dia dan keluarganya yakin pihak pendawa raya dan timbalan pendakwa raya telah melakukan yang terbaik.

Allahyarham  Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Saya yakin kes dan keputusan esok akan berpihak kepada Zulfarhan Osman, tetapi jika sebaliknya saya minta dibicarakan semula.

“Saya kenal anak saya dari kecil, dia belajar sekolah agama hingga darjah khas. Dia tidak akan ambil barang orang. Saya yakin, kemenangan berpihak kepada arwah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dia dan suami akan bertolak ke Kuala Lumpur awal pagi ini kira-kira jam 2 pagi nanti bagi mendengar keputusan pertuduhan kes berkenaan.

Kata Hawa, sudah tentu perjalanan hampir tiga jam itu merupakan detik yang sukar dilupakan.

“Saya tidak dapat bayangkan, sudah pasti doa saya sebagai ibu tidak akan putus sepanjang hari dan sepanjang perjalanan pagi nanti,” ujarnya.

Pada Jun 2017 media melaporkan kes kematian Zulfarhan kerana didera oleh beberapa rakan universitinya selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakan lain.

Allahyarham yang merupakan penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di bahagian dada, tangan serta kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. – MalaysiaGazette

Kes bunuh Zulfarhan: Nasib 18 penuntut UPNM diketahui esok