Mahdzir Khalid bersama Muhammad Sanusi Md Nor menyaksikan petukaran memorandum persefahaman di antara Ketua Pegawai Eksekutif Hong Seng Consolidated Berhad (dua dari kiri) dan Pengarah Pacific Hemisphere Sdn Bhd (dua dari kanan) pada Majlis Pecah Tanah Projek Nitrile Butadine Latex (NBL) di Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 NOVEMBER 2021.

Putrajaya – Projek Kedah Rubber City (KRC) dijangka mampu menarik pelaburan tambahan sebanyak RM5 bilion melalui industri sokongan dan rantaian nilai industri-industri berkaitan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek yang dijangka siap pada 2023 itu menerima pelaburan pertama daripada Hong Seng Industries (HSI) sebanyak RM3 bilion.

“Terdapat enam syarikat yang telah memberi komitmen pelaburan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“HIS adalah pelabur pertama. Projek ini akan mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu di Kedah,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pecah Tanah secara maya di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng, Datuk Seri Teoh Hai Hin.

Menurut Muhammad Sanusi, KRC dijangka siap secara berperingkat dalam empat fasa yang mana ketika ini, pembinaan Fasa 1 yang membabitkan penyediaan infrastuktur, sudah 85 peratus siap.

Ini akan diikuti dengan proses memasang Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tidak lama lagi.

Muhammad Sanusi berkata, pembangunan tersebut bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di Kedah, malah turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri itu.

“Universiti-universiti tempatan di NCIA juga berpeluang untuk bekerjasama dengan pemain industri dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penerokaan teknologi baharu khususnya dalam bidang bahan kimia termaju,” tambah beliau sambil memberi jaminan komitmen penuh kerajaan negeri dalam projek berkenaan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Kedah juga mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak swasta dalam pelaburan berimpak tinggi KRC.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, selepas pembukaan Pusat Penyelidikan Getah di Padang Terap, beliau kini sedang berusaha untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan RISDA.

Ini membolehkan kolaborasi yang lebih dinamik dan progresif bagi industri getah dapat dijalankan, selain dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan berkenaan.- MalaysiaGazette