Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar memotong pulut kuning sebagai gimik perasmian Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia ketika di Bangunan Kumpulan Muara, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Kementerian Usahawan dan Koperasi perlu membantu kira-kira 179,000 usahawan di seluruh negara untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagaimana ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dalam tempoh lebih dua bulan beliau menerajui kementerian itu sejak 30 Ogos lalu, bantuan kepada usahawan berkenaan hampir tercapai.

“Untuk mencapai KPI saya sebagai janji dengan Perdana Menteri, saya perlu memberi bantuan kepada 179,000 usahawan. Sekarang sudah tercapai.

“Pencapaian ini diselaraskan dengan pelaksanaannya dan bagaimana pelaksanaan itu, saya bahagi-bahagikan tugasan kepada 13 agensi bawah kementerian saya.

“Walaupun KPI ini sudah tercapai, dasar yang dasar perkenalkan bagi membantu golongan usahawan ini akan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia di Bangunan Kumpulan Muara hari ini.

Ditanya bagaimana beliau melakukannya, Noh berkata, setiap peserta yang dilatih di bawah agensi kementerian itu adalah untuk menjadi usahawan, bukan sekadar mendapatkan sijil.

Katanya, mereka yang dilatih itu layak untuk mendapatkan pinjaman dan jumlahnya akan dinilai oleh pegawai.

“Kalau kita nak latih, kita latih mereka untuk jadi usahawan, bukan latih untuk bagi sijil. Boleh bagi sijil, tapi apa maknanya dapat sijil, mereka balik dengan tangan kosong dan tidak boleh memulakan perniagaan.

“Sebab itu, mana-mana usahawan yang dilatih, mereka mesti layak untuk mendapat pinjaman. Berapa banyak mereka dapat, itu pegawai akan buat penilaian,” katanya.

Menurut Noh, beliau sebolehnya mahu memudahkan proses pinjaman kepada usahawan yang benar-benar memerlukan modal untuk memula dan meneruskan perniagaan selepas terhenti akibat pandemik Covid-19.

Kata beliau, niat kerajaan Keluarga Malaysia ialah hendak segera memulihkan semula ekonomi dan jika semuanya berjalan dengan baik, mereka akan dapat membayar balik hutang itu.

Mengenai aduan pemohon yang mendakwa proses permohonannya tidak selaras dengan janji kerajaan, Noh berkata, jawatankuasa pemantau diwujudkan di setiap jabatan dan agensi kementeriannya.

“Setiap jabatan dan agensi ini ada jawatankuasa pemantau, sesiapa boleh buat laporan dan mengadu.

“Saya akan mengadili aduan ini dengan memanggil pengadu dan pegawai berkenaan. Saya dengar dari kedua pihak dan saya akan tentukan siapa yang bersalah, pengadu atau pegawai saya,” katanya. – MalaysiaGazette