Hamidin Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Kerjasama erat antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) perlu diteruskan kerana ia penting dalam mencapai kaedah penyelesaian isu bola sepak negara.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, komunikasi secara telus antara kedua-dua organisasi itu perlu demi kepentingan kelab dan pemain sekali gus ke arah kemajuan bola sepak Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi perbincangan antara FAM dan PFAM berhubung isu semasa bola sepak tanah air terutama dalam mengeratkan persefahaman kedua-dua pihak hari ini.

“Agenda utama perbincangan ialah lebih ke arah untuk meningkatkan lagi dan menambah baik gerak kerja antara FAM dan PFAM terutama dalam undang-undang bola sepak membabitkan pemain,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook FAM hari ini.

Turut hadir  Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram; Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM Saaran Nadarajah.

PFAM pula diwakili presidennya Safee Sali; timbalan presiden Shahrom Kalam; ketua pegawai eksekutif PFAM Izham Ismail; dan Setiausaha PFAM Razman Roslan.

Dalam pada itu, isu tunggakan gaji pemain, cukai pendapatan pemain, kaedah jika melaksanakan tangga gaji siling serta cadangan pengukuhan persefahaman pengurusan penswastaan kelab adalah antara agenda yang diberi perhatian dalam sesi perbincangan itu.

“FAM dan PFAM sentiasa memandang serius isu tunggakan gaji, diingatkan kelab untuk berbelanja mengikut bajet dan kemampuan kadar kewangan agar masalah ini tidak lagi membelenggu dunia bola sepak negara,” kata Hamidin. – MalaysiaGazette