Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khiruddin. Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan harus tegas dan tidak tunduk dengan desakan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk menarik balik arahan larangan penjualan arak di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Kharil Nizam Khirudin berkata, kerajaan serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat bertegas dengan keputusan serta perlaksanaan dasar ini.

“Jangan tunduk kepada mana-mana desakan atau rayuan untuk membatalkan keputusan ini.

“Sebagai rakyat Malaysia yang muslim, saya sangat gembira dengan tindakan kerajaan melalui DBKL yang melarang penjualan arak (liquor) di kedai runcit dan serbaneka berkuatkuasa 1 November 2021,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau bekata, keputusan kerajaan itu sangat bertepatan dengan nilai dan jati diri Malaysia.

“Saya memahami serta menghormati hak kebebasan rakyat Malaysia yang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, namun kesan buruk industri maksiat ini mestilah diberi perhatian oleh kita semua yang mencintai negara ini.

“Baru-baru ini di Dewan Negara ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), saya juga telah menyatakan bahawa kerajaan mestilah menzahirkan komitmen di dalam RMK12 untuk mengurangkan kebergantungan pendapatan kerajaan kepada industri maksiat yang terbukti membawa kepada masalah sosial yang lebih besar kepada negara kita ini,” katanya.

Jelas beliau, mewakili majoriti umat Islam di negara ini, kesungguhan kerajaan melalui RMK12 sangat diperlukan.

“Saya juga berharap kerajaan dapat mengambil langkah membanteras ‘ekonomi gelap’ yang berleluasa secara bebas di dalam negara kita ini.

Pada 1 November lalu, DBKL mengeluarkan larangan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja seperti yang terkandung dalam syarat baharu permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Premis tersebut perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir.

Hanya pembeli berusia 21 tahun ke atas dibenarkan membeli.

Susulan itu, tujuh ahli Parlimen PH memohon DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan mempertimbang untuk menarik balik perintah larangan baharu bagi penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

Tujuh ahli Parlimen tersebut adalah Tan Kok Wai (Cheras), Hannah Yeoh (Segambut), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Lim Lip Eng (Kepong), Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan Prabakaran Parameswaran (Batu).

Mereka bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras telah mengadakan perjumpaan dengan Shahidan berkenaan isu berkenaan, namun mendakwa permohohan tersebut tidak diendahkan. – MalaysiaGazette