ALOR SETAR – Seorang wanita sanggup membatalkan hasrat menyambut perayaan Deepavali bersama anaknya demi menjaga majikannya yang terperangkap dalam banjir di Taman Tanjung Bendahara di sini, hari ini.

P. Devika, 57, berkata, dia sepatutnya ke Kuala Lumpur hari ini bersama suami serta seorang cucunya yang berstatus Orang Kurang Upaya untuk menyambut pesta cahaya itu bersama anak lelakinya.

Devika.

Jelasnya, mereka yang sedang bersiap untuk berangkat tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan daripada majikannya, Supiah Musa, 70 tahun pada jam 11.50 pagi.

“Saya menjaga mak cik Supiah sejak empat tahun lalu memandang dia lumpuh separuh badan dan tidak boleh bertutur dengan baik.

“Selalunya jika ada kecemasan dia (Supiah) akan telefon dan menjerit. Susulan mendengar jeritan itu, saya segera bergegas ke rumahnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya.

“Sebaik tiba di rumah majikan, saya dapati keadaan sekeliling rumahnya dinaiki air paras lutut manakala dia berada atas katil dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Devika memakaikan pelitup muka kepada Supiah sebaik wanita itu dipindakan ke rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Tambah Devika, dia meminta izin daripada anak angkat majikannya yang berada di Kuala Lumpur untuk membawa wanita yang menghidap sakit kencing manis serta darah tinggi itu ke rumahnya sementara menunggu banjir surut.

“Selepas menerima persetujuan itu, saya minta suami hubungi pihak pasukan penyelamat untuk membantu kami membawa mak cik Supiah ke rumah saya.

“Saya tak sampai hati untuk ditinggalkan dia, tambahan pula dia tidak mempunyai ahli keluarga di sini,” katanya.

 Angkatan Pertahanan Awam membantu memindahkan mak cik Supiah ke rumah Devika. 

Difahamkan wanita warga emas terbabit tinggal seorang diri di rumahnya memandang suaminya yang juga bekas anggota polis sudah meninggal dunia.

Pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata.

Menurut Devika, dia dan suami membuat keputusan membatalkan hasrat ke ibu kota dan sudah menghubungi anaknya untuk memaklumkan kejadian.

“Syukur, anak saya faham situasi yang dihadapi majikan saya dan dia mengambil keputusan untuk pulang ke sini untuk beraya bersama kami.

“Mak cik Supiah akan tinggal bersama saya sehingga kawasan rumahnya betul-betul selamat untuk didiami semula,” katanya.

Muhammad Hilmi.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana APM Daerah Kota Setar, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, kita dapati mangsa berada dalam keadaan selamat di atas kerusi roda dan air banjir ketika ini berada dalam paras 0.5 meter.

“Menggunakan peralatan kelengkapan air milik APM kita keluarkan mangsa dari rumahnya sebelum memindahkan wanita itu ke rumah seorang wanita menggunakan ambulans,” katanya. – MalaysiaGazette