MUDA
Foto hiasan

MELAKA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya mengutuk langkah PH yang mengambil ahli-ahli politik yang melompat parti sehingga menyebabkan pilihan raya negeri terpaksa diadakan.

“Sejak minggu lepas MUDA telah berunding dengan PH dan ada beberapa pendekatan positif sehingga boleh ada salah satu pembangkang yang berpadu, cuma akhirnya pimpinan PH ambil keputusan untuk memilih mencalonkan katak-katak politik yang menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Melaka dan PRN negeri di tengah-tengah musim pandemik.

“MUDA menolak politik katak, politik tidak bermaruah dan MUDA menolak politik yang tidak berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat susah, dan lebih RM42 juta dibazirkan untuk PRN.

“MUDA telah membuat keputusan untuk tidak bersama PH dalam PRN ini kerana mengangkat politik yang tidak bermaruah,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook beliau hari ini.

Bekas menteri PH itu berkata, MUDA ada mengadakan rundingan dengan kepimpinan gabungan itu namun ketegasan PH untuk tetap mengangkat yang disifatkan ‘katak-katak politik’ menyebabkan MUDA enggan untuk bertoleransi mengenai itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, MUDA juga tidak akan mengambil bahagian dalam PRN kali ini dan mengambil sikap berkecuali.

MUDA juga mengambil pendirian berkecuali untuk tidak bertanding pada PRN ini dan fokus PRU15 dan untuk memperkasakan politik khidmat dan dasar Parlimen dan di luar parlimen.

“Dalam bab ini walaupun kita bekerjasama dengan blok pembangkang tetapi politik nilai yang harus diangkat bukan politik kerusi dan kuasa yang tidak ada batasnya yang akhirnya rakyat juga yang susah.

“Kita berharap tidak ada lagi pandemik Covid-19 dan kita berharap pengundi Melaka bijak memilih.

“Ketegasan pimpinan PH yang tetap mahu mencalonkan katak-katak politik menyebabkan PRN ini, kami mengambil pendirian untuk tidak bersama PH,” katanya lagi.

PH menerusi pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencalonkan bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan mewakili PKR manakala Datuk Nor Azman Hassan kekal di DUN Pantai Kundor mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast