Datuk Seri Mahdzir Khalid full boarding school MARA Junior Science College MRSM Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar Perak punching bag bully bullies
Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA NERANG – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan menjejaskan hubungan antara parti-parti politik dalam kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau yakin pada masa ini terdapat persefahaman pada peringkat kerajaan Persekutuan yang dianggotai parti BN dan Perikatan Nasional atas nama ‘Keluarga Malaysia’.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah buat keputusan supaya tiada program berkaitan menteri (kementerian) yang dibuat di Melaka sempena PRN tersebut.

“Makna kata, kalau menteri turun ke Melaka pun, itu atas kapasiti beliau sebagai ahli parti politik yang bertanding, bukannya turun sebagai seorang menteri yang membawa bersama program-program kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri di sini hari ini.

Hari ini BN dilaporkan membuat keputusan untuk bergerak secara solo dalam PRN Melaka pada 20 November nanti dengan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik sebagai berkata, kesemua parti komponen BN juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam PRN Melaka kali ini sebagai satu ikatan dan mewakili kemajmukan masyarakat.

Dalam pada itu, mengenai peluang BN untuk memenangi PRN itu, Mahdzir berkata, secara tradisinya Melaka sebelum ini sememangnya berada di bawah kerajaan BN.

“Saya fikir bahawa PRN nanti akan mengikut tradisinya kepada kerajaan BN, boleh menggamit kemenangan pada 20 November ini,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast