BAYAN LEPAS – Penduduk di Persiaran Kelicap di sini kesal dengan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang meminta mereka supaya mengalihkan tanaman di bahu jalan berhampiran yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.
Rata-rata penduduk meluahkan rasa kecewa dengan notis yang diberikan MBPP pada 18 dan 29 Oktober lalu memandangkan tanaman itu menjadi zon penampan untuk mencegah kesan pencemaran bunyi, habuk serta asap kenderaan di jalan utama yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.
Wakil penduduk, Harnani Hassan, 37, berkata, tiada perbincangan dibuat oleh pihak MBPP sebelum ini berkaitan tanaman itu dan mereka terus dikejutkan dengan pemberian notis mengalihkan tanaman terbabit.
Jelasnya, terdapat lebih 60 tanaman yang berusia 20 tahun di kawasan tersebut dan ia secara tidak langsung mengikut misi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyarankan penjagaan alam sekitar dengan menanam pokok.
Antara tanaman yang ditanam di sepanjang laluan berkenaan ialah kelapa, jambu, mempelam, mata kucing, serai, pandan, belimbing, herba, cili dan ciku.
“Kami boleh mengalihkan struktur binaan seperti bangku dan meja di kawasan itu tetapi bagi memusnahkan tanaman berkenaan adalah tidak masuk akal.
“Sehubungan itu kami memohon MBPP supaya menarik balik notis berkenaan serta mengadakan perbincangan demi kebaikan bersama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 30 penduduk berhimpun secara aman bagi membantah arahan pihak berkuasa tempatan itu dengan memegang kad manila bertulis: ‘Kami kesal keputusan MBPP’ dan ‘Kami memohon simpati MBPP dan Kerajaan Negeri’.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, Pegawai Penyelidiknya, NV Subbarow serta Pegawai Luar Bandar CAP, Zulkifli Yusuf.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Samsuddin Hussain, 80, berkata, semua orang sedia maklum mengenai fungsi pokok kepada manusia dan alam sekitar selain mewujudkan kawasan redup di sini.
“Banyak kelebihan dan manfaat daripada tanaman ini yang kami peroleh termasuk semangat kejiranan dengan menukar hasil tanaman.
“Apabila diberitahu untuk mengalihkan tanaman ini tanpa perbincangan membuatkan kami yang terdiri daripada penghuni 80 buah rumah terkejut dan kecewa,” jelasnya. – MalaysiaGazette