Lima calon Putra (dari kiri) Dr. Aluwi, Mohamad Hashidi, Nazatul Asyraf, Laila Norinda dan Mohd Faizal.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang baharu dua setengah tahun usia penubuhannya nekad menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Dalam pengumuman dan penyerahan watikah pelantikan calon semalam, Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menyatakan, perjuangan parti itu di Melaka ibarat ‘mendaki Gunung Everest.’

Katanya, Putra tidak meletakkan apa-apa harapan, melainkan tampil calon berwibawa, bersih, berintegriti dan mempunyai jati diri untuk menghambakan diri kepada rakyat negeri itu.

“Media tanya, apa harapan Putra bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)? Dari awal lagi saya katakan, PRN ini diadakan secara mengejut, Putra pula parti baharu, tentulah perjuangan kita seperti perjuangan mendaki Gunung Everest.

“Putra hanya boleh tampil calon berkriteria dan sanggup berkhidmat. Semua mereka sebelum ini begitu dekat dengan rakyat, terutama sepanjang pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media pengumuman dan penyerahan watikah pelantikan calon, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Khalid Yunus; dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Dr. Aziz Jamaluddin Tahir, Khairul Azam Aziz dan Datuk Hamidah Othman.

Lima calon itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Putra Melaka yang juga Ketua Putra Bahagian Hang Tuah Jaya, Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari, 55, bertanding di DUN Pengkalan Batu.

Ketua Wira Putra Melaka yang juga usahawan, Mohamad Hashidi Mohd Zin, 32, (Paya Rumput); seorang usahawan berkelulusan Pengurusan Pentadbiran Hotel Antarabangsa, Nazatul Asyraf Md. Dom, 38, (Sungai Rambai).

Ketua Wiranita Putra Melaka, Laila Norinda Maon, 44, (DUN Gadek); dan Ketua Putra Bahagian Kota Melaka, Mohd Faizal Amzah, 44, (Duyong).

Kelima mereka akan bertembung empat penjuru melawan calon dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Dr. Ibrahim berkata, beliau melihat PRN Melaka ini ibarat pertarungan BN dengan PH, manakala PN iaitu parti yang dipenuhi ‘katak’ hanya sebagai tempelan sahaja.

Kata beliau, sebaik DUN Melaka dibubarkan, Badan Perhubungan Putra negeri itu telah menghantar dan membuat cadangan untuk bertanding di 13 kerusi DUN beserta dengan nama calon.

“Setelah Biro Politik Putra bermesyuarat panjang lebar dan kemudian dibawa ke Majlis Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, maka keputusan muktamad dibuat hanya lima kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

“Pertamanya, Putra baru berusia dua setengah tahun, manakala PRN Melaka ini diadakan secara mengejut dan sudah tentu sebagai parti baru kita tidak dapat menyediakan persiapan cukup jika hendak bertanding 13 kerusi DUN.

“Maka, Biro Politik Putra buat keputusan, daripada cadangan 13 DUN, kita pilih lima DUN yang ada kriteria, yang terpaksa kita teliti dalam semua aspek supaya lima calon ini dapat menimbangi segala kehendak yang kita rasakan sesuai,” katanya.

Beliau berkata, rekod semua bakal calon Putra yang ditampilkan itu walaupun belum bertanding dalam mana-mana pilihan raya, tetapi sejarah kehidupan mereka bersih, berakhlak tinggi dan bermoral.

Katanya, mereka juga mempunyai pendidikan akademik yang tinggi, berilmu dan komitmen dalam mendokong perjuangan Putra selama ini

“Putra ini adalah parti alternatif orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Parti yang tidak akan menghampakan rakyat sebagaimana kita lihat rakyat hampa dan kecewa terhadap parti serta pemimpin yang ada sebelum ini.

“Cakap lain buat lain, penuh dengan isu menyayat hati. Negara kaya raya dengan minyak dan gas, rakyat 35 juta, tapi berhutang RM1.3 trilion. Mahu rakyat tidak hampa dan kecewa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast