Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR – Sarawak mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) dibahagi kepada dua dengan sebahagian daripadanya beroperasi di negeri itu.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berkata, ini berikutan kegagalan KKM mengurus secara adil klinik yang ada di Sarawak.

Beliau berkata, daripada 283 klinik di negeri itu, 89 daripadanya tidak mempunyai doktor.

“Klinik ini hanya dikendalikan oleh Pembantu Perubatan dan jururawat sahaja, tanpa mempunyai doktor untuk merawat pesakit,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan akan membina lebih banyak klinik di kawasan luar bandar.

Jelasnya, sekiranya itu perancangan KKM, beliau mencadangkan klinik berkenaan dilengkapi kemudahan penting seperti makmal, kemudahan radiografi dan juga doktor.

“Dengan adanya ujian radiografi dan x-ray bolehlah rawatan dilakukan ke atas pesakit yang menghidapi penyakit yang mengancam nyawa dan penyakit mereka dapat dikesan lebih awal

“Malah, pembinaan klinik desa di Sarawak akan lebih mudah dibina sekiranya kerajaan mengambil tahu apakah masalah yang dihadapi oleh penjawat awam kesihatan di negeri itu,” katanya.

Menurut Lukanisman, penempatan doktor juga perlu diambil kira memandangkan banyak lagi diperlukan di klinik luar bandar di Sarawak. – MalaysiaGazette