Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Penampang meminta kerajaan menerusi Kementerian Kewangan memperuntukkan sekurang-kurang RM1 bilion untuk kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat bukan Islam.

Datuk Ignatius Darell Leiking berkata, peruntukan yang disediakan kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2022 hanya sekadar RM50 juta, satu jumlah yang dianggap kecil.

“Saya terkilan kerana kerajaan Persekutuan cuma memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat bukan Islam.

“Sedangkan terdapat beratus gereja, tokong dan kuil yang memerlukan bantuan kewangan dengan kadar segera berikutan pelaksanaan SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, hari ini.

Menurut Darell Leiking, beliau merasakan tidak ada masalah kepada Menteri Kewangan untuk menyediakan peruntukan RM1 bilion itu.

Ini kerana, katanya, peruntukan itu diperlukan bagi membantu meringankan beban yang sedang dipikul oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengelola rumah-rumah ibadat.

“Bila lagi kerajaan hendak mendengar suara rakyat, ketika inilah bantuan perlu ditambah sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada penganut bukan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette