Calon Barisan Nasional DUN N.25 Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mencabut undi ketika hadir pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan MPJ Lipat Kajang, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mengakui tanggungjawab yang dipikulnya bukan mudah.

Namun beliau yakin akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan dalam tempoh dua minggu ini amat penting untuk menyakinkan pengundi.

“Ini pertama kali saya diberi mandat membawa amanah dan tanggungjawab parti untuk masyarakat di DUN Rim, insya Allah saya akan buat yang terbaik,” katanya yang mesra disapa sebagai Dira.

Beliau menyifatkan pemilihannya sebagai wakil wanita muda bukan pencapaian untuk diri sendiri sebaliknya mewakili golongan itu di DUN Rim, tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India.

”Saya mewakili golongan muda yang diberikan amanah menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin dan andai kata dipilih pada 20 November ini juga saya mewakili keseluruhan (orang muda) DUN Rim khususnya tidak kira Melayu, Cina dan India,” katanya dalam sidang media selepas menghantar borang penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Majlis Perbandaran Jasin, Lipat Kajang, pagi tadi.

DUN Rim menyaksikan pertarungan tiga penjuru di antara calon Perikatan Nasional, Azalina Abdul Rahman dan Prasanth Kumar A/L Brakasam mewakili Pakatan Harapan.

Dira, 37, dipertaruhkan oleh BN, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggu (MKT) UMNO serta satu-satunya pemimpin Pergerakan Puteri UMNO negeri yang dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Rim.

Bekas pelakon dan pengarah itu juga merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Kali ini, BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu pada hari pengundian yang bakal berlangsung pada 20 November ini, menyaksikan keseluruhan UMNO diwakili 20 calon, tujuh MCA dan satu daripada MIC.

Daripada jumlah itu, 28 peratus terdiri daripada calon yang berusia 45 tahun ke bawah, lima adalah wanita, empat daripadanya dari UMNO dan satu MCA.

Ditanya mengenai perjuangan dalam politiknya, Dira berkata, beliau membawa nilai perjuangan parti BN demi bangsa, agama dan tanah air.

“Dalam perjuangan ini, saya tiada niat lain hanya ingin memastikan apa yang terbina akan terus terbela dan terjaga serta meneruskan nilai perjuangan atuk nenek kita dalam melalui parti keramat UMNO,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast