Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkongsi rasa sedih dan kecewa bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) setelah dikhianati rakan sendiri satu masa dahulu.

Katanya, pengkhianatan itu menyebabkan kerajaan PH yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)  dan sempat mentadbir selama 22 bulan jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

Sambil membaca sepotong ayat al-Quran, beliau menyatakan firman Allah itu memberi dorongan kepadanya di sebalik kedukaan rakan kepimpinan PH akibat pengkhianatan.

“Sakit kita melihat rakan sendiri mengkhianati, langkah entah apa yang dibuat.. nak sebut nama (Langkah Sheraton) pun saya tak mahu sebut, sakit hati. (Kalau) sakit tangan boleh diubat, sakit hati ni siapalah yang tahu.

“Kalaulah tidak ada sentuhan rohani yang mengingatkan kita ini ujian, saya tidak mahu menjadi mereka yang hanya menyerahkan kepada takdir kerana kita juga dituntut untuk melaksanakan sunnah Allah.

“Kita seharusnya bukan sekadar mahu digelar sebagai wakil rakyat, kita juga mahu jadi wakil rakyat yang berkhidmat kepada prinsip,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen hari ini.

Pada 24 Februari tahun lalu, seramai 11 Ahli Parlimen dari PKR mengisytiharkan keluar parti itu dan PH dalam apa yang dinamakan Langkah Sheraton.

Tindakan itu serentak juga dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar dari PH dan membentuk kerajaan baharu bersama UMNO dan serpihan PKR itu.

Menurut Mujahid, apa yang menyedihkan, ada pemimpin dari parti politik tertentu menjadi hamba kepada kedudukan, kuasa dan kepentingan diri

Katanya, rakyat di luar sana memerhatikan mereka dan jangan sekali-kali menganggap apa yang dipertontonkan itu seolah masyarakat tidak membuat penilaian.

“Setiap tindakan kita diberi penilaian dan saya tidak tahu apa yang harus saya katakan kalau seseorang itu sudah tidak ada lagi sifat malu lagi untuk menyerlahkan niat asalnya.

“Kalau kamu tidak ada sifat malu, buatkan apa yang kamu hendak dan tidak ada aib atau kemaluan apabila kita di kalangan orang berpolitik menjadikan kedudukan sebagai komoditi untuk kepentingan diri.

“Sesungguhnya, rakyat tidak jahil dengan semua ini. Bak kata pepatah Melayu, sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betinanya,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, bagi parti tertentu, tidak perlu memberi alasan agama atau bangsa.

Ini kerana kata beliau, pentadbiran Islam harus bebas daripada tunggangan politik dan rakyat sudah melalui pengalaman pahit dengan manusia yang menggunakan agama demi kepentingan politik.

Beliau memberi contoh, Tabung Haji di bawah pentadbiran PH telah ‘dibelasah’ oleh sebuah parti yang mendakwa membangun bersama Islam.

“Walaupun kita cuba baiki keadaan tetapi dibelasahnya juga lagi hingga saya terpaksa berdebat untuk rakyat mengetahuinya. Tetapi, akhirnya kebenaran pasti akan timbul, kamu (tuduh) macam-macam,” katanya. – MalaysiaGazette